Kelantan terima royalti minyak jika Perikatan menang, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata Kelantan akan menerima sepenuhnya bayaran royalti minyak sekiranya gabungan itu menang PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2022.

KELANTAN akan menerima sepenuhnya bayaran royalti minyak sekiranya PN menang PRU15, kata pengerusi gabungan tersebut Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata ia bukan janji kosong kerana beliau pernah melaksanakan bayaran wang royalti minyak kepada Kelantan ketika menjadi perdana menteri.

“Menteri Besar Ahmad Yaakob ada sebut waktu pentadbiran PN kita tak ragu kerana dalam mesyuarat jemaah menteri kita yang pertama, PN buat keputusan beri apa hak negeri Kelantan.

“Kita bagi sepenuhnya tak persoalkan, jumlahnya sebanyak RM400 juta kita serah dalam tempoh dua tahun 2020 dan 2021.

“Dan kalau kita menang PRU15, kita jalan terus. Kalau kata kita menang, 5% royalti minyak untuk Kelantan kita kasi penuh, itu janji yang kita laksana sekiranya kita boleh tadbir negeri Kelantan.”

Beliau mengumumkan perkara itu dalam acara ceramah bersama pemimpin PAS di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Di pentas sama presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata isu royalti minyak antara sebab parti Islam menolak kerjasama dengan Umno.

Beliau menyifatkan Umno zalim kerana memungkiri hak yang sepatutnya diterima Kelantan mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 .

“Yang tulis perjanjian itu ialah Tun Salleh Abas masa itu beliau tulis depan Tun Abdul Razak Hussein, waktu itu Tengku Razaleigh Tengku Hamzah pun ada .

“Perjanjian itu dibuat bila timbul krisis Sabah dan Sarawak kerana masalah hasil petroleum.

“Akhirnya keputusan dibuat sekiranya ada hasil di darat dan laut hendaklah diberi kepada Petronas dan diberi kepada negeri 5%,” katanya.

“Dan semua menteri besar setuju tandatangani perjanjian itu,” kata bekas menteri besar Terengganu itu.

Hadi seterusnya menawarkan bahawa penyelesaian dapat dicapai melalui perubahan apabila pengundi memilih PN dalam pilihan raya umum 19 November kelak.

Perubahan perlu dibuat kerana pentadbiran BN juga sebelum ini sengaja melambatkan peruntukan negeri hanya kerana PAS mewakili pembangkang.

“Jadi kita perlukan perubahan jika PN menang kita boleh selesaikan masalah ini,” katanya.

Putrajaya pada November mengubah pendirian dan mengumumkan wang royalti minyak tidak akan dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Parlimen, kerajaan sebaliknya akan membayar wang ehsan kerana medan pengeluaran petroleum berada luar perairan Kelantan.

Zafrul juga mengumumkan RM400 juta dibayar bagi pembayaran hasil petroleum pada 2020 dan 2021, sebagai hasil 5% daripada pengeluaran medan berhampiran Kelantan.

Selain itu, sebanyak 351 projek pembangunan dilululuskan untuk Kelantan membabitkan kos keseluruhan RM2.39 bilion tahun ini.

Ia termasuk pembinaan Jambatan Palekbang dengan kos RM250 juta, Projek Rumah Mesra Rakyat bernilai RM102 juta dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dengan kos RM483 juta.

Tuntutan untuk meraih bayaran royalti minyak digerakkan Kelantan melalui saman ke atas kerajaan persekutuan dan Petronas semasa pentadbiran Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saman yang difailkan pada 2011 itu kemudian ditarik balik pada Oktober 2018 Kelantan susulan jaminan kerajaan ketika itu untuk membayar wang royalti minyak kepada kerajaan negeri.

Seterusnya kerajaan Kelantan mengumumkan menerima bayaran pendahuluan kira-kira RM15.7 juta daripada Putrajaya pada September 2018.

Bayaran itu disebut menteri kewangan waktu itu Lim Guan Eng sebagai wang royalti minyak, yang kemudian disanggah Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob sebagai kenyataan mengelirukan.

Menurut Ahmad, bayaran pendahuluan itu hanya bentuk wang ehsan dan bukan royalti minyak sedangkan Kelantan sepatutnya menerima RM1.03 bilion dalam bentuk royalti minyak bagi 2017. – 22 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen