PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi yang terlebih dahulu membuat permintaan untuk berjumpa dengan PAS bagi rundingan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya parti Islam itu, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Berucap dalam program Himpunan Penyatuan Ummah, presiden PAS itu mendedahkan butiran pertemuan membincangkan kerjasama menghadapi PRU15 bersama Umno pada Rabu lepas.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa pada pertemuan tersebut PAS diberikan syarat dan tempoh oleh Zahid sehingga Jumaat pada jam 12 malam bagi membuat keputusan memilih untuk bersama dengan Umno dan meninggalkan Bersatu.
Bagaimanapun katanya syarat itu tidak dapat dipenuhi oleh PAS yang menyebabkan rundingan tersebut gagal.
“Terakhir beliau, Zahid jemput saya, bukan saya jemput dia. Tapi dalam media dia sebut saya minta nak jumpa dia jadi terbalik tapi tak apalah kita pergi juga.
“Bila kita pergi jumpa, dia bagi syarat sebab nak masuk PRU15, PAS mesti putus dengan Bersatu. Dia panggil kita hari Rabu, bagi tempoh sehingga hari Jumaat jam 12 malam. Sedap dia nak ajar kita PAS bagi tempoh jam 12 malam.
“Tapi saya minta dipanjangkan waktu, Zahid setuju. Kemudian lepas kita bincang-bincang takkanlah kita nak berpisah dengan rakan pertama yang kita ada,” katanya.
Jelasnya lagi pendirian PAS tidak pernah berubah iaitu mengajak perpaduan ummah melibatkan semua parti Melayu dan bukan terhad kepada Umno dan parti Islam itu sahaja.
Beliau berkata atas dasar itu PAS memutuskan untuk menolak PH dan BN serta bersama Bersatu dalam PN.
Minggu lepas PAS mengumumkan akan memperkukuhkan kerjasama dengan PN dan meninggalkan Umno.
Pendirian itu diumumkan selepas mesyuarat jawatankuasa kerja pusat parti yang memuktamadkan hala tuju parti Islam itu menuju pilihan raya.
Ia menamatkan drama tarik tali antara PAS dengan Bersatu dan juga Umno buat masa ini.
Kalangan menteri dari parti PAS antara 12 anggota Kabinet yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu bagi merayu agar Parlimen tidak dibubarkan.
Ia tetap membawa kepada pembubaran Parlimen pada Isnin dan membolehkan PRU15 diadakan dalam tempoh 60 hari. – 22 Oktober, 2022.
Komen