Unit antara agama Sarawak digesa tangani insiden biskop diganggu


Bede Hong

Biskop Simon Peter Poh dilindungi oleh sekumpulan pemuda Islam ketika keluar dari Mahkamah Persekutuan di Kuching pada 27 Februari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2018.

KEGAGALAN Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) menangani kejadian seorang biskop diganggu sekumpulan belia Islam baru-baru membimbangkan, memandangkan unit ini ditubuhkan untuk memupuk dialog dan hubungan antara agama, kata DAP.

Ketua hal ehwal wanita parti Irene Chang mempersoalkan mengapa Unifor tidak ke depan untuk meyakinkan rakyat Sarawak yang kekecohan itu tidak akan berlaku lagi di negeri ini.

“Walaupun gesaan daripada pelbagai pihak, termasuk kumpulan Kristian, Unifor gagal mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menyatakan jika mereka meneliti perkara itu dan mengambil langkah untuk memastikan ia tidak berulang,” kata Chang.

Pada Selasa, seramai 100 pemuda Islam menganggu Biskop Katolik Simon Peter Poh selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan mengenai isu bidang kuasa bagi kes murtad di Sarawak.

Apabila gangguan itu bermula, sekumpulan pemuda Islam lain serta-merta membentuk kepungan mengelilingi Poh dan melindunginya.

Chang, yang juga Adun Bukit Assek berkata “perang kata-kata” berikutan insiden itu mengancam imej “perpaduan dalam kepelbagaian” negeri dan Kuching, yang dinamakan “Bandar Perpaduan” oleh Yayasan 1Malaysia pada 2015.

“Kenapa Unifor berdiam diri?” soalnya.

Unifor adalah gagasan bekas ketua menteri Adenan Satem, yang ditubuhkan untuk memupuk dialog dan hubungan antara agama.

“Ia sepatutnya menjadi jambatan antara umat Islam dan bukan Islam untuk menangani dan menyelesaikan isu-isu yang boleh menimbulkan salah faham.

“Ini mengecewakan di sebalik segala apa yang berlaku, Unifor memilih untuk menutup mata dan berdiam diri,” katanya.

Beliau berkata tidak ada jaminan daripada Unifor yang perkara itu dibawa kepada perhatian kerajaan negeri dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang mengapi-apikan kejadian itu.

“Kami tidak mahu keadaan sama berlaku seperti saudara kita di Malaysia Barat dengan perselisihan agama sentiasa menjadi api dalam sekam.

Beliau berkata kerajaan Sarawak juga perlu mendengar permohonan bagi pindaan undang-undang syariah untuk menangani kes murtad.

Chang juga mengutuk ancaman bunuh terhadap pemimpin PKR Sarawak Baru Bian.

Baru, yang merupakan Adun Ba’Kelalan, mewakili empat individu - Salina Jau Abdullah, Jenny Peter, Mohd Syafiq Abdullah @ Tiong Choo Ting dan Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen dalam kes murtad.

Beliau menafikan memperalatkan umat Islam, seperti yang didakwa pengguna Facebook Helmi Bin Abdullah Mee, yang menuntut Baru “ditembak mati”.

Chang berkata pihak polis perlu melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membantu siasatan mereka dan “menangkap suspek secepat mungkin. – 2 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen