Henti berbalah sesama sendiri, gesa Presiden Umno


Diyana Ibrahim

Ahmad Zahid menyeru agar ahli partinya menghentikan sebarang perbalahan dalaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2022.

UMNO mesti menghentikan perbalahan dalaman supaya tidak lagi ada tanggapan wujud dua kem presiden dan perdana menteri sehingga boleh menjejaskan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid sendiri berjanji akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri BN untuk pilihan raya umum ini.

“Umno kuat, BN kuat tapi pembangkang lebih kuat sebab kita berpecah semasa sendiri. Sebab itu saya nak tutup buku. Sebab itu juga saya dan perdana menteri melakukan himpunan soladiriti ini kerana kita nak wujud naratif penyatuan dua pemimpin antara  parti.

“Ertinya perdana menteri dalam kerajaan mesti bantu parti dan saya dalam parti mesti bantu kerajaan barulah wujud keseimbangan dalam politik,”  katanya semasa berucap di majlis pelancaran jentera BN Terengganu di Hulu Terengganu.

Sebelum ini wujud spekulasi perbalalahan dalaman antara Ahmad Zahid yang dirujuk sebagai kumpulan Umno kluster mahkamah dan Ismail Sabri sebagai kumpulan pro kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hubungan itu didakwa semakin meruncing apabila Ahmad Zahid mendesak untuk Parlimen dibubar segera sementara Ismail Sabri cenderung mengadakan pilihan raya tahun depan.

Bagaimanapun pada 10 Oktober, Ismail Sabri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan hari pengundian pada 19 November depan.

Mengulas lanjut Zahid menyifatkan PRU15 merupakan medan membuang pengkhianat parti dan mereka yang lemah apabila diuji dengan kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu.

Ahmad Zahid mahu ahli Umno mencontohi dirinya tetap tabah biarpun diuji dengan 87 tuduhan kes jenayah di mahkamah selain dituduh penyamun dan perompak.

“Saya diserang dari dalam BN juga ramai, di bawah ramai di atas pun ramai, tapi buat apa kita nak serang sesama sendiri. Kita kena serang musuh barulah BN kuat semula dan boleh memerintah dengan betul,” katanya.

Sebelum itu, Ismail Sabri dalam ucapannya menjelaskan beliau terpaksa membubarkan Parlimen kerana tindakan 12 menteri Perikatan Nasional yang menulis surat kepada Agong tanpa pengetahuannya.

Beliau mendedahkan sebenarnya Agong menolak cadangan 12 menteri tersebut kerana yang boleh berbincang mengenai pembubaran hanyalah perdana menteri sahaja.

“Saya nampak tekanan ini daripada presiden parti bunga (Muhyiddin Yassin) dan dia ada sembilan menteri tapi beliau serang kabinet saya.

“Mengikut salah seorang menterinya kata terpaksa akur sahaja kepada arahan parti.

“Jadi saya sudah nampak  kalau mereka akur kepada arahan parti mungkin akan banyak lagi arahan selepas ini yang mungkin kerajaan tumbang,” katanya. – 21 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen