PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan laporan mendakwa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .
Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata beliau tidak pernah terniat untuk tidak bertanding di kerusi yang disandangnya sejak empat penggal lepas.
“Saya tak tahu mana punca dan sumber yang tulis begitu, saya fikir elok tanya pada orang itu.
“Tapi saya masih tak berniat nak lakukan perkara demikian (tak bertanding),” katanya pada sidang media selepas merasmikan jentera pelancaran BN di Hulu Terengganu, hari ini.
Namun beliau tidak menolak Umno/BN komited untuk meletakkan 70 peratus muka baharu sebagai calon pada PRU15.
Ujarnya, langkah menampilkan calon baharu itu telah dilakukan semasa pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.
“Yang penting kita mesti mengetengahkan calon mana yang boleh beri kemenangan untuk tentukan kerajaan di Putrajaya.
“Ini termasuk azam kita memperolehi 70 peratus sekurang-kurangnya muka baru yang akan mewakili kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bila ia dibubarkan,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian memetik sumber melaporkan Zahid terpaksa berkorban agar nama dan isu yang menyelubungi dirinya tidak dijadikan modal kempen lawan dalam PRU15.
Akhbar itu melaporkan tempat beliau akan diganti oleh sama ada anaknya Nurul Hidayah ataupun orang kanan beliau sendiri.
Sementara itu Zahid berkata Umno/BN telah mengenal pasti 31 kerusi berisiko yang akan memenangkan Pakatan Harapan (PH) selepas rundingan bersama PAS gagal.
Beliau bagaimanapun enggan memperincikan 31 kerusi tersebut kerana beranggapan ia strategi parti yang tidak harus dikongsi.
Tambahnya, biarpun berisiko, Umno/BN berazam untuk memastikan kemenangan biarpun bergerak solo.
“Memang kita kenal pasti memang kerusi ini bukan sahaja 27 tapi hingga 31 kerusi yang sepatutnya dielakkan untuk beri kemenangan kepada PH.
“Kita berazam dengan keputusan dibuat parti dan pihak berkenaan (PAS) tidak lagi bersama dengan kita, maka kita perkukuhkan jentera komponen bersama dengan Friends of BN serta beberapa pihak yang boleh beri dokongan untuk memenangi kerusi berkenaan,” katanya.
Minggu lepas PAS dan Umno menamatkan teka teki berhubung rundingan kerjasama mereka dalam PRU 15 susulan kenyataan PAS yang berkata akan mengukuhkan kerjasama dengan Perikatan Nasional.
Kelmarin, Zahid berkata BN tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan parti ‘lebai’, yang merujuk kepada PAS untuk apa jua gabungan selepas PRU15.
Ditanya mengenai calon, Zahid berkata ia akan dimuktamadkan seminggu sebelum penamaan calon pada 5 November ini.
Tambahnya lagi Umno/BN hanya akan bertanding di 156 kerusi Parlimen di Semenanjung dan 26 lagi kerusi merupakan kerusi Parlimen di Sabah.
“26 kerusi ini kita akan bertanding bersama BN di Sabah dan selebihnya ada 31 kerusi itu merupakan kerusi Parlimen Sarawak,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, manakala tarikh penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. – 21 Oktober, 2022.
Komen