SPRM masih boleh siasat ketua CID Bukit Aman, kata peguam


Bede Hong

Peguam dan pengasas Eliminating Deaths and Abuse In Custody (Edict) M. Visvanathan berkata Akta SPRM 2009 memperuntukkan bidang kuasa tambahan wilayah untuk menguruskan kesalahan rasuah yang dilakukan di luar negara sama seolah-olah ia dilakukan di Malaysia semasa forum di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 2 Mac, 2018.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih boleh menyiasat mana-mana individu kerana rasuah walaupun sudah dibersihkan oleh polis daripada sebarang salah laku.

Forum umum mengenai akauntabiliti polis di Kuala Lumpur, yang dianjurkan bersama oleh Majlis Peguam, diberitahu yang Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Wan Ahmad Najmuddin Mohd masih boleh disiasat di bawah Akta SPRM 2009, yang membolehkan rakyat Malaysia dikenakan tindakan jenayah rasuah di luar negara.

Peguam M. Visvanathan, pengasas Eliminating Deaths and Abuse In Custody (Edict) membetulkan fakta Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Mah Weng Kwai yang berkata dalam sesi soal jawab yang Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa tambahan atau perjanjian ekstradisi dengan Australia yang bermaksud individu didakwa boleh dikatakan “selamat” daripada undang-undang di tanah air.

Akta SPRM 2009 memperuntukkan bidang kuasa tambahan wilayah untuk menangani kesalahan rasuah yang dilakukan di luar negara oleh warganya dan penduduk tetap sama seperti kesalahan itu dilakukan di Malaysia.

Seksyen 66 (1) Akta SPRM 2009, yang berkaitan dengan liabiliti bagi kesalahan rasuah di luar Malaysia berbunyi: “Peruntukan Akta ini hendaklah, berhubung dengan warganegara dan penduduk tetap Malaysia, berkuatkuasa di luar dan dalam Malaysia, dan apabila suatu kesalahan di bawah Akta ini dilakukan di mana-mana tempat di luar Malaysia oleh mana-mana warganegara atau pemastautin tetap, dia boleh diuruskan dengan kesalahan itu seolah-olah ia telah dilakukan di mana-mana tempat di dalam Malaysia”.

Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan hari ini polis Australia merampas AU$320,000 (RM972,000) dalam akaun Wan Ahmad kerana disyaki melakukan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Wan Ahmad tidak mencabar untuk mendapatkan kembali wang itu. Laporan itu berkata polis Malaysia membersihkannya selepas siasatan dalaman berikutan amaran daripada polis Australia.

SMH memetik Allaudeen Abdul Majid daripada unit integriti polis yang mengatakan polis sudah menyiasat perkara itu dan mendapati wang itu diperolehi secara sah daripada penjualan rumah dan Wan Ahmad mahu menghantar wang itu kepada anak perempuannya.

Allaudeen mengatakan Wan Ahmad meminta bantuan seorang rakan rapat, warga India bernama Seenisirajudeen Mohamad Basith untuk mengendalikan urusan pemindahan wang itu dan wang itu dipindahkan tanpa mematuhi undang-undang Australia.

Ahli Majlis Peguam Sivaraj Retinasekharan mempersoalkan sikap berdiam diri SPRM mengenai perkara itu.

“Kenapa pegawai polis itu tidak menuntut semula wang itu (sekiranya wang itu berasal dari sumber yang sah)? Kos undang-undang untuk berbuat demikian tidak begitu banyak, terutamanya apabila ada RM1 juta yang akan diperolehi,” katanya.

Peguam hak asasi manusia dan jenayah Dinesh Muthal berkata SPRM mempunyai “kuasa dua hala” dan boleh “menyiasat bagaimana wang itu sampai di sana”.

Tuduhan pengubahan wang haram biasanya disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Anti-Keganasan 2001 (Amlatfa), katanya.

“Lihat hasil wang. Ia boleh dijejaki ke tempat asalnya dan sama ada sumbernya haram,” kata Dinesh.

“Cara wang yang diterima boleh dikategorikan sebagai salah laku menyalahi undang-undang. Tetapi polis nampaknya membersihkan pegawai tersebut melalui siasatan dalaman mereka, jadi saya rasa mereka tidak menggunakan Amlatfa.” – 2 Mac, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen