PRU15: DAP Sarawak tetap guna logo ‘roket’ bukan Pakatan


Desmond Davidson

Chong berkata keputusan partinya jelas untuk menggunakan logo roket bukan logo PH. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2022.

DAP Sarawak akan menggunakan logo partinya sendiri dalam merebut lapan kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata pihaknya tetap bertegas untuk tidak mengikut keputusan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menggunakan logo gabungan itu pada pilihan raya bulan depan.

“Kami, DAP Sarawak di sini, sentiasa ada autonomi untuk menentukan logo mana yang hendak digunakan. Saya fikir sudah jelas, kami akan bertanding menggunakan logo ‘roket’,” tegas penyandang Stampin itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya soal pendirian DAP Sarawak selepas Setiausaha Agung DAP kebangsaan Anthony Loke membuat pengumuman tentang kesemua rakan gabungan akan menggunakan logo PH.

DAP Sarawak menggunakan logo roket pada semua pilihan raya disertainya sejak memasuki negeri itu termasuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Namun, dua lagi parti gabungan PH, PKR dan Amanah menuruti keputusan pusat untuk menggunakan logo PH.

Perkara itu disahkan Pengerusi PKR Sarawak, Roland Engan sebelum ini.

Sementara Parti Bumi Kenyalang (PBK) bersetuju untuk menggunakan logo Parti Sarawak Bersatu (PSB) manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) akan mengguna logonya sendiri.

Presiden PBK Voon Lee Shan ketika menjelaskan soal keputusan partinya untuk menggunakan logo PSB berkata kepada The Malaysian Insight, kajian akar umbi menunjukkan “pengundi lebih gemar parti politik pembangkang tempatan bekerjasama dan jika boleh bertanding di bawah satu lambang”.

“Ini bakal memberi impak dan sokongan yang hebat daripada pengundi. Mereka mahu lihat kesatuan antara kami,” katanya.

Kata Voon, beliau juga memerhati jika PBK boleh tampil bawah satu logo yang sama seperti dilakukan PGH pada PRU14, “peluang kami untuk menang lebih tinggi”.

President PBDS Bobby William ketika menjelaskan alasan partinya tidak mahu mengikut jejak PBK berkata perjanjian persefahaman ditandatangani pada 1 Oktober di Sibu yang menetapkan tidak berlaku pertembungan antara mereka pada PRU15 itu tidak mengikat mereka untuk bernaung di bawah logo yang sama.

Katanya lagi majlis tertinggi partinya juga tidak meluluskan penggunaan logo PSB.

PBDS akan bertanding di empat kerusi Parlimen– Baram, Sibuti, Kapit dan Julau. – 21 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen