Tiada musuh BN terselamat daripada kata-kata pedas Nazri


Gan Pei Ling

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz berkata sesiapa sahaja yang cuba menjatuhkan Barisan Nasional akan dikritik ketika ditemuramah di kediamannya di Kuala Kangsar, Perak, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussein, 2 Mac, 2018.

MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed NAzri Aziz berkata beliau akan mengkritik sesiapa sahaja termasuk ikon seperti Robert Kuok dan Dr Mahathir untuk mempertahankan Barisan Nasional (BN).

“Saya anggota Kabinet, sebahagian daripada kerajaan yang dia (dakwa) nak gulingkan, dan dia biaya musuh politik saya. Mestilah saya balas balik,” kata Nazri.

Menteri Umno yang bermulut lantang itu menggelar Kuok “pondan” dan mencabar taikun itu bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengenai dakwaan lelaki terkaya di Malaysia itu membiaya DAP seperti yang didakwa blog Malaysia Today.

Nazri memberitahu The Malaysian Insight yang beliau tidak faham mengapa parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan masih mahu beliau meminta maaf kepada Kuok.

“Kenapa nak minta maaf?” kata ahli Majlis Tertinggi Umno dan ahli Parlimen Padang Rengas itu.

“Kenapa masa saya hentam Dr Mahathir yang berumur 94 tahun, mereka tak kata; awak tak boleh cakap macam tu, dia ikon? Itu menunjukkan yang pemimpin Gerakan, MCA adalah rasis.

“Bila Mahathir, mereka tak bising, padahal Mahathir lebih ikonik dari Robert Kuok.

“Saya rasa mereka mahu jadikan ini isu perkauman. Saya rasa ini menunjukkan yang mereka sebenarnya rasis,” kata Nazri.

Nazri mengingatkan Gerakan dan MCA yang beliau telah membantu kes Indira Gandhi dalam Kabinet, merujuk kepada seorang ibu beragama Hindu yang menghabiskan masa selama bertahun-tahun di mahkamah untuk membatalkan penukaran agama anak-anaknya kepada agama Islam oleh bekas suaminya.

Beliau juga berkata telah membaca memoir Kuok dan kritikan taikun itu terhadap kerajaan BN.

“Dah tentu dia boleh komen, saya juga berhak untuk rasa kecewa tentang apa yang dia tulis mengenai kerajaan. Dah 19 tahun saya jadi menteri,” kata Nazri.

Dalam satu laporan The Malaysian Insight, penganalisis berkata serangan Umno terhadap Kuok adalah tanda parti itu panik menjelang PRU14.

Pemuda MCA dalam satu kenyataan pada Rabu berkata penghinaan Nazri terhadap Kuok dan Setiausaha agung MCA Ong Ka Chuan menjejaskan semangat BN. – 2 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen