ANWAR Ibrahim mengumumkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen Tambun, sekali gus menjadikan Perak negeri barisan hadapan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau mengesahkan pencalonannya pada Konvensyen Pakatan Harapan di Ipoh, malam ini.
“Sebab itu saya akan berlabuh di Tambun.
“Saya mahu Perak bersama maka saya terjun dalam politik di Perak, saya tak memilih kawasan mudah, jamin majoriti besar, saya ketua, kepalai dan berani merempuh dan tawan Tambun dalam PRU ini,” kata pengerusi PH itu.
Anwar dalam ucapannya turut berkata, beliau berhasrat menjadikan ekonomi Perak sebaris dengan negeri-negeri yang dipimpin PH seperti Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.
Presiden PKR itu bagaimanapun mengakui keputusan itu tidak menjanjikan jalan mudah buatnya.
“Saya akui sukar, bukan medan biasa bagi kita tetapi saya datang dengan keyakinan merampas Tambun dan Perak walaupun saya tahu tokoh besar Perak ada di sini.
“Beri mandat kepada PH dan kita angkat Perak sebagai gergasi ekonomi baharu, Perak harus bangkit bersama Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka dan Johor sebagai gergasi ekonomi,” kata Anwar lagi.
Tambun merupakan kerusi Parlimen yang sebelum ini disandang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Menteri Belia dan Sukan itu menewaskan penyandang tiga penggal Ahmad Husni Hanadzlah, pada PRU14, yang merupakan menteri Kabinet BN waktu itu.
Anwar sebelum ini menang Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 Oktober 2018, dengan majoriti lebih 31,016 undi, selepas penyandang Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusinya untuk ditandingi Anwar waktu itu.
Beliau waktu itu disahkan layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei 2018. – 20 Oktober, 2022.
Komen