Pelabur hilang keyakinan, Najib salahkan tindakan Dr Mahathir tambat ringgit


Jason Santos

Perdana Menteri Najib Razak berkata tindakan Malaysia menambat nilai ringgit pada 1998 menjadi punca para pelabur hilang keyakinan terhadap ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2018.

PERDANA Menteri Najib Razak menyalahkan tindakan menambat nilai ringgit pada 1998 yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai punca hilanganya keyakinan para pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Menteri kewangan itu berkata ia mengambil masa yang lama untuk negara memulihkan keyakinan dan kini mula membawa pelabur ke negara ini semula.

Beliau berkata pelabur enggan berurusan dengan Malaysia disebabkan nilai ringgit “buatan” itu.

“Pada masa itu, tidak ada cerita yang Malaysia akan muflis.

Pada masa itu, nilai ringgit pada 4.80 berbanding AS$1 dan rizab negara hanya AS$20 bilion.

“Apabila ringgit ditambat kepada RM3.80 bagi setiap dolar selama bertahun-tahun, pelabur kehilangan keyakinan terhadap Malaysia,” katanya semasa lawatan ke Sabah.

Dr Mahathir mengenakan tambatan ringgit pada 1 September 1998 dan sehari kemudian memecat timbalan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, Anwar Ibrahim berhubung tuduhan liwat.

Tetapi pada 2003 apabila Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata pendekatan Malaysia menambat ringgit bagi menangani krisis kewangan Asia adalah langkah yang betul.

“Dengan pengalaman lalu, kita perlu mengiktiraf prestasi ekonomi yang baik. Dr Mahathir betul,” kata pengarah urusan dana Horst Kohler, merujuk kepada keputusan Dr Mahathir selepas krisis mata wang.

Najib adalah menteri pendidikan semasa krisis kewangan itu berlaku.

Beliau berkata ekonomi Malaysia kini semakin pulih dan baru-baru ini juga menerima penarafan A3 dan stabil oleh Moody’s Investors Services.

“Kita tak macam Itali, Greece dan Rusia dalam kategori kumpulan B, tetapi kita dalam kumpulan A. Secara logiknya, kumpulan B akan bankrap dulu dari Malaysia,” kata Najib, menepis cakap-cakap bahawa Malaysia kini menuju kriis ekonomi.

Najib berkata prestasi ringgit juga pada tahap terbaik sejak dua bulan lepas.

Perdana menteri berkata tidak adil bagi pembangkang menyalahkannya atas segala yang berlaku di negara ini, termasuk jalan raya berlubang dan longkang yang tersumbat, walaupun terdapat trend positif berlaku  dalam ekonomi negara.

“Kena adillah, tak perlu puji perdana menteri kalau tak mahu, tapi tolong puji kerajaan jika negara dalam keadaan baik.

“Saya tak mahu puji diri sendiri sebab kita bekerja sebagai satu pasukan dengan penjawat awam,” katanya.

Menurut Najib, ekonomi Malaysia naik 5.9% pada tahun-tahun memandangkan eksport bulanan negara terus berkembang hingga mencecah rekod RM83.5 bilion pada November tahun lepas.

“Sekarang ini banyak syarikat antarabangsa memilih Malaysia sebagai tuan rumah mereka, dengan syarikat seperti SK Group dari Korea, yang pendapatan tahunannya berjumlah AS$123 bilion setahun - lebih besar daripada belanjawan negara - (memilih Malaysia) sebagai pusat serantau mereka bagi Timur Tengah, Asia dan India,” kata Najib.

Rakyat Malaysia akan menerima manfaat daripada semua pelaburan ini dan kesemua hasil akan diterjemahkan dalam bentuk bantuan tunai dan sebagainya untuk membantu golongan miskin di negara ini,” kata Najib. Tambah beliau, inilah sebbanya mengapa Malaysia bersikap mesra dengan negara lain. – 2 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen