Undi18 dekati 70% pengundi baharu melalui media sosial


Noel Achariam

Undi18 mendekati golongan pengundi muda untuk mendidik mereka mengenai kepentingan mengundi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2022.

UNDI18 menggunakan media sosial untuk mendekati dan mendidik kira-kira 70% pengundi baharu yang akan mengundi buat pertama kali pada pilihan raya umum akan datang.

Pengasas bersamanya Tharma Pillai berkata sukar untuk menggunakan kaedah tradisional, termasuk turun padang, untuk mendidik pengundi baharu mengenai kepentingan mengundi.

Beliau berkata Undi18 memulakan pelbagai inisiatif dengan menggunakan kuasa media sosial untuk menilai perhatian golongan belia sejak setahun lalu.

“Kami menggunakan Tik Tok dan platform media sosial lain untuk mendekati golongan belia.

“Kita perlu pergi ke tempat yang ramai belia dan tempatnya ialah Tik Tok, Instagram dan Twitter. Kita boleh berkongsi ilmu dan maklumat mengenai pilihan raya (di platform ini),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tharma berkata mereka telah melakukan ini selama setahun sekarang untuk memastikan belia mendapat maklumat yang betul, dan ia sangat menggalakkan.

Katanya, mereka telah menerima jutaan tontonan dan ratusan ribu Like untuk video mereka di media sosial.

“Kami setakat ini telah membuat lebih daripada 50 video mengenai pengundian dan prosesnya, dan kami berharap lebih ramai belia akan mengikuti untuk mengetahui lebih lanjut mengenai demokrasi dan negara.

Menurutnya mereka mencapai sasaran mereka dengan video di Tik Tok dan Instagram, dan grafik di Twitter.

Tharma berkata cara ini penting bagi mendekati golongan belia kerana 1.2 juta pengundi berumur antara 18 dan 20 tahun perlu dimaklumkan mengenai proses pengundian dan kepentingan mengundi.

“Kami menyasarkan untuk mencapai 70% daripada 1.2 juta pengundi berumur antara 18 dan 20 tahun.

“Memandangkan sukar untuk turun padang bagi mendekati pengundi, kami menggunakan media sosial sepenuhnya.”

Beliau berkata adalah penting mendekati seberapa ramai pengundi baharu untuk mendidik mereka tentang kepentingan proses demokrasi.

“Strategi utama kami adalah mendekati golongan belia kerana mereka aktif di media sosial.

“Ramai juga belia mengikuti perkembangan negara melalui media sosial.”

Tharma juga berkata pihaknya telah mengadakan beberapa bengkel bersama Kementerian Belia dan Sukan serta program di sekolah khususnya pelajar STPM bagi mewujudkan kesedaran politik kepada pelajar.

Beliau juga berkata mereka bimbang dengan musim tengkujuh yang akan mengakibatkan ramai pengundi termasuk pengundi muda tidak dapat mengundi.

“Sekiranya berlaku banjir, ia mungkin mengganggu golongan belia untuk keluar mengundi, atau pulang ke kampung halaman untuk mengundi, lebih-lebih lagi jika mereka belajar dan tinggal di luar kawasan.

“Jadi, jika berlaku banjir, bagaimana mereka hendak balik mengundi?”

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya perlu menjelaskan pelan mitigasi banjir bagi memastikan semua orang boleh mengundi semasa banjir.

“Apa yang kita ingin tahu ialah bagaimana banjir akan memberi kesan kepada peratusan pengundi yang keluar untuk mengundi.”

Undi18 telah berjaya menganjurkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengurangkan had umur minimum mengundi di Malaysia daripada 21 kepada 18 tahun. Kumpulan ini bermula sebagai gerakan pelajar pada 2016, di bawah Malaysian Students’ Global Alliance. – 21 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen