DR Mahathir Mohamad mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya melarang pengundi membawa masuk telefon genggam ke pusat pengundian bagi mengelak kemungkinan rasuah dalam pilihan raya.
Bekas perdana menteri berkata telefon genggam yang dibawa masuk ke pusat pengundian boleh menjadikan undi bukan lagi rahsia dan parti politik boleh memberi rasuah kepada pengundi untuk mendapatkan sokongan.
“Pengundi boleh tunjuk melalui telefon bahawa dia sudah undi parti tertentu dan parti pun hulur wang.
“Tidak bolehkah Suruhanjaya Pilihan Raya tegah membawa telefon bimbit semasa mengundi?” katanya dalam satu tulisan di blognya Serambi Che Det, hari ini.
Dr Mahathir berpendapat ada banyak kelemahan dalam sistem pilihan raya di Malaysia tetapi SPR katanya “tidak hendak dengar teguran berkenaan kelemahan ini”.
Jelas beliau, jika kelemahan ini tidak dibetulkan rasuah dan penipuan boleh berlaku dalam pilihan raya.
Dr Mahathir percaya kelemahan ini, dan banyak lagi kelemahan lain dalam pilihan raya, boleh SPR perbaiki sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
SPR hari ini menetapkan pengundian bagi PRU15 pada 19 November selepas dua minggu berkempen sejak penamaan calon pada 5 November. Pengundian awal bagi pengundi yang layak pula akan dijalankan pada 15 November. – 20 Oktober, 2022.
Komen