POLIS perlu membuka semula siasatan ke atas tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan seorang pegawai polis persekutuan atasan, walaupun sudah membersihkannya sebelum ini, kata badan anti rasuah dan seorang ahli Parlimen.
Mereka berkata ini adalah perlu bagi menjaga integriti pasukan polis Malaysia selepas Polis Persekutuan Australia merampas AU$320,000 (RM971,728) daripada akaun bank pegawai di Sydney yang disyaki terlibat dengan pengubahan wang haram.
Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel, berkata rampasan AU$320,000 mewajarkan penyiasatan di Malaysia untuk dibuka semula dan jika menjadi suspek, beliau perlu bercuti dalam tempoh ini.
“Ini penting untuk menjaga integriti pasukan polis,” kata Gabriel kepada The Malaysian Insight.
Komen Gabriel itu susulan laporan Sydney Morning Herald (SMH) hari ini yang melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd wang kepunyaannya berjumlah AU$320,000 dirampas oleh polis Australia kerana disyaki dengan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, Wan Ahmad tidak akan mencabar rampasan untuk mendapatkan wang itu kembali. Laporan menyebut yang Bukit Aman sudah melepaskannya daripada sebarang kesalahan susulan siasatan dalaman dilakukan tahun lepas selepas menerima amaran daripada polis Australia.
SMH memetik Allaudeen Abdul Majid daripada unit integriti polis yang mengatakan polis sudah menyiasat perkara itu dan mendapati wang itu diperolehi secara sah daripada penjualan rumah dan Wan Ahmad mahu menghantar wang itu kepada anak perempuannya.
Allaudeen mengatakan Wan Ahmad meminta bantuan seorang rakan rapat, warga India bernama Seenisirajudeen Mohamad Basith untuk mengendalikan urusan pemindahan wang itu dan wang itu dipindahkan tanpa mematuhi undang-undang Australia.
“Kejadian ini adalah disebabkan terlepas pandang. Tiada niat jahat untuk melanggar mana-mana undang-undang termasuklah di Australia,” katanya seperti dipetik akhbar itu.
Wan Ahmad yang naik pangkat menjadi ketua CID April tahun lepas dikatakan membuka akaun bank itu pada 2011 untuk membayar pengajian sarjana anak perempuannya.
“Beliau seharusnya menjelaskan transaksi segera dan menunjukkan bukti dari mana sumber duit itu diperolehi.
“Tidak menuntut semula duit itu tidak membebaskannya daripada apa yang didakwa sebagai salah laku,” kata Gabriel.
Insiden ini tidak sampai seminggu selepas laporan kedudukan Malaysia yang jatuh dalam indeks rasuah global. Malaysia jatuh ke tempat ke-62 dalam indeks bagi tahun lepas, turun tujuh tempat berbanding 2016, merupakan kedudukan terendah sejak indeks dimulakan pada 1995.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (gambar, kiri) berkata kes yang melibatkan pengarah CID itu mempunyai tanda pengubahan wang haram, yang melibatkan pergerakan dana kepada akaun orang lain.
“Dana yang terlibat di sini adalah kira-kira sejuta ringgit. Jumlah itu jauh melebihi pembayaran pendidikan anak perempuannya.
“Apa yang pelik, mengejutkan, adalah polis Australia melihat kemungkinan berlakunya jenayah tetapi polis Malaysia membersihkannya.
“Adakah mereka menggunakan piawaian penyiasatan yang berbeza?”
Santiago berkata jelas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat (transaksi) termasuk peranan kawan (yang memindahkan wang ke luar negara).
Beliau berkata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun perlu meminta siasatan lain atau menjemput SPRM untuk menyiasat.
“Adalah aneh, sangat pelik beliau tidak mahu wang itu kembali. Mengapa?
“Apa yang terlintas di fikiran ialah beliau mahu menutup kes itu. Apa yang beliau sedang sembunyikan?” Soal Santiago. – 2 Mac, 2018.
Komen