PEGUAM Negara Idrus Harun perlu beri penjelasan sama ada beliau diarahkan mengambil tindakan terhadap Tommy Thomas oleh pemangku Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atau tidak, kata Lim Lip Eng.
Ia susulan Ismail secara terbuka mendedahkan kerahsiaan laporan siasatan buku Thomas dibatalkan dan mengarahkan Idrus mengambil tindakan segera terhadap bekas peguam negara itu.
Lim yang juga penyandang ahli Parlimen Kepong menggesa Idrus menjelaskan kepada orang ramai berkenaan arahan diterima daripada Ismail.
“Idrus tidak boleh terus senyap kerana rakyat Malaysia menunggu penjelasannya, sekurang-kurangnya bagi soalan ini: Bila Ismail Sabri arah beliau ambil tindakan terhadap Thosmas berhubung kandungan dalam bukunya?,” kata wakil rakyat DAP itu.
Terdahulu dilaporkan Ismail mengaku berkenaan arahan itu pada satu program di Bagan Datuk, di mana beliau menggesa jentera pilihan raya parti mengambil kesempatan terhadap dapatan siasatan itu untuk menyerang lawan pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya dah beri peluru. Dalam kes Thomas, kita dedahkan kepada umum (laporan) jawatankuasa khas yang menyiasat. Saya dah beri peluru banyak.
“Saya minta menteri undang-undang supaya siarkan (laporan) di laman web mereka, perincian apa yang dilakukan, kesalahan yang dilakukan Tommy Thomas.
“Saya beritahu peguam negara ambil tindakan segera di bawah Akta Rahsia Rasmi, di bawah (pertuduhan) fitnah dan sebagainya.
“Kalau (isu tersebut) sudah dibawa, jangan tinggal begitu saja. Kita kena capitalise isu ini untuk serang mereka,” kata Ismail.
Lim mempersoalkan adakah arahan Ismail itu mengikut perlembagaan dan mendesak Idrus beri penjelasan sama ada Ismail beri arahan sama kepadanya untuk melakukan tindakan terhadap individu lain. – 20 Oktober, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen