DR Dzulkefly Ahmad akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor biarpun sebelum ini menyatakan hasrat berundur untuk memberi laluan kepada generasi baharu, unum Amanah.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata kerusi Kuala Selangor perlu dipertahankan selepas ada ura-ura Barisan Nasional (BN) mencalonkan menteri kewangan sementara Tengku Zafrul Aziz.
“Setelah Umno mahu meletakkan Tengku Zafrul sebagai calon mereka di Parlimen Kuala Selangor, kami pimpinan Amanah dan juga Pakatan Harapan (PH) mahu Dr Dzul bertanding untuk mempertahankan kerusi Kuala Selangor ini sekali lagi.
“Ini kerana, bagi kami, PRU15 ini adalah sangat kritikal dan serius. Setiap kerusi adalah penting untuk dimenangi oleh PH,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight pada Mei 2022, Dzulkefly berkata beliau tidak mahu bertanding lagi dalam pilihan raya kerana peluang berkhidmat dua penggal sudah memadai bagi ahli politik.
Dzulkefly berkhidmat dua penggal sebagai wakil rakyat Kuala Selangor selepas pilihan raya umum 2008 dan 2018. Beliau memegang jawatan menteri kesihatan dalam pentadbiran PH.
Semasa pandemik Covid-19, Dzulkefly dilantik menganggotai Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).
Salahuddin berkata Amanah dan PH yakin Dzulkefly boleh menang kerusi Kuala Selangor atas prestasi khidmatnya selama ini.
The Malaysian Insight difahamkan keputusan mengekalkan Dzulkefly dibuat dalam mesyuarat pimpinan tinggi Amanah, awal minggu ini.
Dalam komen pendek di Twitter atas laporan mengenai keputusan partinya itu, Dzulkefly berkata beliau tidak diberikan banyak pilihan oleh Amanah.
“Doakan saya,” katanya.
The Malaysia Insight juga difahamkan Amanah akan mengekalkan presiden parti Mohamad Sabu bertanding di Parlimen Kota Raja sementara Salahuddin mempertahankan Parlimen Pulai.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar juga akan mempertahankan Parlimen Pokok Sena.
Khod Samad yang menyandang Parlimen Shah Alam dijangka akan bertanding di Titiwangsa.
Sekurang-kurangnya tiga kerusi Parlimen iaitu Shah Alam, Sepang, dan Temerloh akan ditandingi muka baru, antaranya dalam kalangan pimpinan sayap muda parti. – 20 Oktober, 2022.
Komen