Bubar Parlimen 1999 beza dengan sekarang, kata Dr Mahathir


Ravin Palanisamy

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Ismail Sabri Yaakob sengaja membubarkan Parlimen supaya pilihan raya umum diadakan semasa musim tengkujuh kerana pembangkang tidak bersedia untuk menghadapi banjir.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Oktober, 2022.

DR Mahathir Mohamad berkata pembubaran Parlimen beberapa minggu selepas pembentangan belanjawan pada 1999 semasa beliau perdana menteri keempat tidak sama seperti yang berlaku sekarang.

Katanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sengaja membubarkan Parlimen supaya pilihan raya umum diadakan semasa musim tengkujuh kerana pembangkang tidak bersedia untuk menghadapi banjir.

“Lebih baik bubar Parlimen pasal dia nampak parti lawan ini belum bersedia. Jadi ini nak cari jalan supaya nak menang secara tidak adil,” ujarnya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya petang tadi.

Tindakan Ismail Sabri itu juga bagi menghalang pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tambah Dr Mahathir.

“Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada November. Ikut ramalan, akan berlaku banyak angin kencang dan banjir. 

“Jadi, ini akan menjejaskan proses mengundi. Tidak ramai yang akan keluar (mengundi),” katanya.

Dr Mahathir juga berkata Gerakan Tanah Air (GTA) akan berusaha sebaik mungkin untuk berkempen dan memastikan orang ramai keluar mengundi pada PRU15.

Beliau dalam pada itu menegaskan pembubaran Parlimen semasa musim tengkujuh pada 1999 tidak sama seperti situasi sekarang .

“Ketika itu kerajaan dan pembangkan bersedia. Malah, tiada banjir dan ribut berlaku.

“Tak halang pengundi untuk keluar mengundi,“jelasnya. – 19 Oktober, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen