Boleh kerjasama dengan Perikatan tapi bersyarat, kata GTA


Ravin Palanisamy

Kerjasama itu bagaimanapun hanya berlaku jika ideologi dan prinsip Perikatan Nasional sama dengan GTA, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Oktober, 2022.

GERAKAN Tanah Air (GTA) tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi penaja GTA itu berkata kerjasama itu bagaimanapun berlaku hanya jika ideologi dan prinsip PN sama dengan gabungan itu.

“Itu (kerjasama dengan PN) kita nak timbang tengoklah, kalau mereka sependapat dengan kita dan tidak terlibat dengan benda-benda yang bertentangan dengan dasar dan prinsip kita, kita mungkin akan bekerjasama dengan mereka,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Apabila ditanya pula berkenaan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), bekas perdana menteri dua kali itu berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana GTA mungkin akan hilang undi Melayu.

“Parti PH ini, masalahnya ialah orang Melayu kebanyakan tak suka dengan DAP, jadi kalau kita kerjasama dengan PH, mungkin kita hilang undi Melayu,” katanya.

Dr Mahathir turut mengulangi pendirian GTA untuk tidak  bekerjasama dengan Umno menghadapi PRU15.

“Ya, kita bermusuh dengan Umno, kerana Umno kalau menang rosak habis negara.

“Kita dah tau latar belakan Umno ini, masa mereka jadi kerajaan di bawah Najib (Razak) dan (Ahmad) Zahid (Hamidi) yang rosak Umno, rosak negara, rosak duit rakyat dan sebagainya,” katanya. – 19 Oktober, 2022.     


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen