PAKATAN Harapan Terengganu akan berdepan kesukaran apabila PRU15 diadakan semasa musim tengkujuh, kata pengerusinya Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Katanya, PH kekurangan akses untuk mendekati dan membantu pengundi di negeri pantai timur yang sentiasa dilanda musibah itu setiap tahun.
“Sumber kita terhad. Mungkin bolehlah kita sewa bot fiber tapi siapa yang nak bawa, kena fikir soal itu juga.
“Dan untuk logistik, kenderaan, kita takkan sempat untuk dapatkan semua kenderaan yang boleh meredah kawasan banjir ini,
“Kalau Umno mereka definisi redah banjir mereka dengan helikopter dan lori besar, ” katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu hari ini.
Tambah beliau di Terengganu keadaan akan lebih membimbangkan kerana turut berdepan bencana melibatkan empangan hidro Tasik Kenyir di hulu Terengganu.
Menurutnya, perkara itu dibangkitkan sendiri Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada bulan lepas.
“Jika berlaku bencana di Tasik Kenyir mana penduduk nak lari? Sebab itu kita memang bimbang PRU diadakan masa banjir ini,” katanya.
Bencana bajir di Tasik Kenyir pada musim tengkujuh lalu antara paling buruk dalam sejarah sehingga menyebabkan badan air tersebut dipenuhi puing kayu-kayan dan juga balak.
Kejadian tanah runtuh di kawasan tasik itu turut menumbangkan menara penghantaran voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad dan menghentikan operasi stesen janaelektrik di Tasik Kenyir.
Turut terjejas, jalan keluar masuk ke stesen janakuasa dan juga sebuah jambatan sewaktu banjir yang menjejaskan keseluruhan kira-kira 20,000 penduduk.
Sebuah sekolah di Kuala Berang musnah teruk selepas dibadai kepala air ketika banjir melanda daerah itu.
Mengulas lanjut Kamarul Bahrin mendakwa Umno sememangnya merancang untuk mengadakan PRU15 pada waktu ini bagi menghalang penyokong pembangkang keluar mengundi.
“Mereka nak susahkan penyokong pembangkang daripada keluar mengundi. Ini memang dirancang. Kerana kerajaan hari ini ambil pengajaran kemenangan mereka di Johor dalam Melaka.
“Kalau dalam 50% peluang mereka menang its akan tinggi. Sebab itu mereka sanggup adakan pilihan raya umum masa musim tengkujuh,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan untuk membubarkan parlimen ke-14 pada Isnin lepas membolehkan PRU15 diadakan.
Baginda juga menitahkan agar PRU15 diadakan sebelum musim banjir.
Dengan pengumuman pembubaran itu, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. – 18 Oktober, 2022.
Komen