PAKATAN Harapan (PH) Terengganu akan menampilkan calon berpengaruh seorang tokoh besar bertanding menentang Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kata pengerusinya Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Beliau enggan mendedahkan nama tokoh tersebut buat masa ini dan hanya menyebut calon itu seorang ustaz yang mampu memberi saingan hebat di kubu kuat PAS di kerusi Marang.
“Untuk kerusi Marang ini kita akan tampilkan tokoh seorang ustaz yang kita percaya akan dapat memberi pilihan baharu kepada pengundi di Marang terutama generasi yang akan datang.”
Kamarul Bahrin berkata, calon tersebut akan membuka mata pengundi mengenai keperibadian seorang ustaz yang akan ditawarkan PH.
“... Seorang ustaz tidak semestinya kena ceramah yang berapi-api dengan membakar kebencian dan membawa sentimen negatif,” katanya dalam sidang medianya di Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut, beliau berkata tidak mustahil PH dapat menembusi kubu kuat PAS itu kerana Hadi pernah dikalahkan sebelum ini sebanyak dua kali.
Beliau merujuk kepada pencapaian bekas pemimpin Umno Marang Abdul Rahman Bakar yang pernah mengalahkan Hadi dalam Pilihan Raya Umum 1986 dan 2004.
Pada masa sama beliau turut mengulangi pendirian PH Terengganu bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata Amanah Terengganu mungkin akan mengumumkan calonnya selepas konvensyen PH di Ipoh Perak, Khamis ini.
“Namun bergantung juga dengan keputusan pucuk pimpinan jika memberi memberi lampu hijau,” katanya yang menambah, sekitar 7% kerusi belum lagi selesai dirundingkan. – 18 Oktober, 2022.
Komen