PERMINTAAN pelajar Sarawak agar kerajaan negeri membantu mereka pulang mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mungkin bercanggah dengan undang-undang pilihan raya, kata Premier Abang Johari Openg.
“Ia adalah permintaan pelajar sama ada kerajaan boleh memberi mereka bantuan untuk pulang mengundi.
“Jawapan saya ialah: Kami akan pertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pameran dan persidangan air dan sisa kumbahan antarabangsa Borneo di Kuching hari ini.
Abang Johari merujuk kepada permintaan yang dibuat pada sesi town hall bersama pelajar yang belajar di semenanjung semasa program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada Sabtu.
Beliau berkata kerajaan perlu mengkaji semua kemungkinan implikasi termasuk jika ia mematuhi atau melanggar mana-mana undang-undang pilihan raya.
Katanya beliau juga perlu berunding dengan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) lain mengenainya. – 18 Oktober, 2022.
Komen