Belia tolak kleptokrasi, rasuah, kata Pemuda Pakatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kelvin Yii berkata pengundi muda cukup matang untuk membuat pilihan yang tepat dalam PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2022.

PENGUNDI muda cukup matang untuk membuat pilihan yang tepat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus akan menolak parti politik yang terpalit rasuah, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kelvin Yii.

“Anak muda Malaysia akan mengundi demi kebaikan Malaysia, dan ini termasuk menolak parti yang pemimpinnya sudah terbukti terbabit dalam kes rasuah dan salah guna kuasa, malah memaksa pilihan raya disegerakan pada musim tengkujuh semata-mata untuk menyelamatkan pencuri yang terlibat dalam kleptokrasi besar-besaran.

“Belia mahukan dasar yang baik yang dapat menjamin keselamatan ekonomi dan alam sekitar, pendiidikan yang saksama, serta yang lebih penting lagi adalah dasar yang memberi peluang pekerjaan di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yii yang juga penyandang kerusi Parlimen Bandar Kuching menyanggah kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil semalam bahawa pengundi muda akan menolak Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam wawancara bersama Free Malaysia Today, Isham berkata golongan muda mempunyai pandangan buruk terhadap PH kerana tidak menunaikan janji dalam manifesto 2018 dan mungkin tidak akan mengundi PN kerana gabungan itu terdiri daripada golongan “lompat parti”.

Dalam kenyataannya, Yii berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) lupa merekalah yang menyokong ahli Parlimen yang lompat parti dalam percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Umno dan BN juga sentiasa meratib kerajaan PH gagal melunaskan manifesto selepas menang dalam PRU14, sedangkan mereka sendiri gagal sepanjang 60 tahun berkuasa.

“Walaupun cuma 22 bulan, PH telah melaksanakan banyak pembaharuan institusi penting dan dasar tadbir urus yang baik yang diiktiraf antarabangsa termasuk penambahbaikan mendadak dalam Indeks Persepsi Rasuah, Indeks Kebebasan Media dan Indeks Demokrasi serta banyak lagi.

“Ini akan menjadi asas kepada Malaysia yang lebih bersih dan kukuh, yang amat penting untuk membawa masuk pelaburan serta mendorong keyakinan pelabur dalam tadbir urus kita,” kata Yii yang juga ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY).

Tambah beliau, jika tidak kerana kerajaan PH tumbang pastinya salah urus yang disebabkan oleh BN akan dapat diperbetulkan dan negara kini berada di landasan yang betul. – 18 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen