Kontraktor tempatan berkelayakan dijamin dapat projek pembangunan negara, kata PM


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kontraktor tempatan berkelayakan akan mendapat peluang untuk membangunkan projek pembangunan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan kontraktor tempatan berkelayakan akan mendapat peluang sebaiknya untuk membangunkan projek pembangunan negara.

Justeru, Ismail Sabri menafikan pelbagai tuduhan kononnya peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion dalam Belanjawan 2023 akan menguntungkan pihak tertentu sahaja.

“Kerajaan yang saya pimpin hari ini sentiasa mengutamakan pembangunan infrastruktur untuk dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia,” kata beliau pada majlis perasmian Konvensyen Kontraktor Melayu 3.0 dan mesyuarat agung tahunan ke-43 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 7 Oktober lepas, kerajaan membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM272.3 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negara yang memfokuskan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Belanjawan 2023 juga memperuntukkan sebanyak RM95 bilion untuk perbelanjaan pembangunan iaitu yang tertinggi dalam sejarah merangkumi sebanyak 7,615 projek pembangunan.

Ismail Sabri berkata Belanjawan 2023 juga menyediakan pelbagai inisiatif khusus untuk kontraktor kelas G1 hingga G4 dengan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir.

Bagi menyokong kontraktor Bumiputera, Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada kontraktor kumpulan itu yang terlibat dalam bidang seperti elektrikal dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE) dengan dana sebanyak RM20 juta.

Beliau berkata sebanyak RM50 juta nilai projek-projek kecil juga akan dikhususkan kepada kontraktor wanita kelas G1 hingga G4 menerusi inisiatif Kontraktornita bagi menyokong penyertaan lebih ramai kontraktor wanita Bumiputera dalam perolehan kerajaan.

“Namun kesemua ini akan hanya dinikmati sekiranya Belanjawan 2023 ini dibentang semula dan diluluskan selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Kalau saya diberi peluang bentuk kerajaan selepas ini, insya-Allah, bajet ini akan dibentangkan semula dan diluluskan,” kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan menyedari dalam suasana ekonomi yang begitu  mencabar, tidak ramai kontraktor sanggup terlibat dalam projek-projek perumahan kos rendah yang kurang pulangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barangan bahan binaan yang tidak menentu.

Oleh itu, beliau berkata Kabinet telah meluluskan peruntukan tambahan untuk meningkatkan harga rumah-rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada RM68,000 daripada RM55,000.

Beliau menyeru semua kontraktor yang terlibat dalam projek-projek kerajaan supaya menunjukkan prestasi terbaik daripada segi kualiti, produktiviti dan profesionalisme serta menyiapkan projek mengikut waktu  yang ditetapkan.

Mengulas mengenai pekerja asing, Ismail Sabri berkata proses pengambilan akan berterusan namun kerajaan tetap akan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

Setakat hari ini terdapat 1.6 juta pekerja asing di negara ini namun jumlahnya tidak akan melebihi dua juta bagi memastikan pekerja mencukupi untuk semua sektor termasuk pembinaan supaya kontraktor dapat meneruskan dan menyiapkan projek mereka, kata beliau. – Bernama, 18 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen