Penjawat awam patut contohi Cikgu Fadli, kata DAP


Alfian Z.M. Tahir

Setiausaha DAP Kuala Lumpur Lim Lip Eng mencadangkan penjawat awam menggunakan media sosial bagi menyuarakan kritikan kerana ia lebih cepat mendapat perhatian kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2022.

PENJAWAT awam patut menggunakan media sosial sebagai cara untuk menyuarakan kritikan mereka kerana ia terbukti berkesan menarik perhatian kerajaan, kata Lim Lip Eng.

Penyandang kerusi Parlimen Kepong itu berkata demikian merujuk kepada insiden terbaharu melibatkan seorang guru matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh yang mendakwa akan dipecat atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai sukatan pelajaran, yang dipercayai tidak sesuai untuk pelajar.

Mohd Fadli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli pada mulanya merungut tentang bilangan pelajar yang ramai dalam bilik darjah dengan banyak mata pelajaran diajar selain pelajar terpaksa membawa beg berat ke sekolah.

Beliau telah membuat aduan kepada jabatan pendidikan daerah dan negeri sebelum memutuskan untuk membawa perkara itu di media sosial kerana tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Kini, penjawat awam lain boleh mencontohi Cikgu Fadli dengan memberi kritikan dan maklum balas kepada pihak berkuasa di media sosial.

“Mungkin juga cara ini lebih efektif dan mungkin juga perubahan serta pencapaian para jabatan kerajaan menjadi lebih cepat,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, apa yang dibangkitkan oleh Cikgu Fadli adalah isu berterusan yang telah lama diperkatakan.

Lim yang juga setiausaha DAP Kuala Lumpur berkata banyak isu telah dikemukakan oleh ramai individu berhubung kelemahan institusi kerajaan tetapi sehingga kini tiada penyelesaian konkrit dicapai.

“Sekiranya kita lihat isu ini dengan teliti, banyak aspek sistem negara kita yang memerlukan pembaharuan segera, daripada sistem kesihatan, sistem kebajikan sehinggalah ke institusi kepolisian.

“Saban tahun, apa yang sering diberitahu kepada orang umum adalah, kajian dan perbincangan oleh kerajaan untuk mengatasi sesebuah masalah dijalankan, namun di hujungnya, tiada usaha-usaha konklusif untuk membetulkan masalahnya.

“Di pihak kementerian pula, menteri berganti menteri, pengarah berganti pengarah, namun begitu prestasi kerajaan kita masih berada dalam tahap yang sangat membimbangkan,” katanya.

Lim turut menyelar perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob serta penyandang menteri pendidikan Mohd Radzi Jidin kerana hanya mahu mendengar pandangan Cikgu Fadli ketika pilihan raya semakin hampir.

“(Kedua-dua mereka) berebut-rebut mahu mendengar pandangan Cikgu Fadli tentang cara menambah baik sistem pendidikan di sekolah rendah hanya selepas cadangannya dan pemecatannya yang bakal berlaku tular di laman Facebooknya.

“Saya yakin dan pasti tahun-tahun yang sudah, berpucuk-pucuk surat telah dihantar oleh guru-guru di seluruh pelusuk negara meminta perkara-perkara yang membebankan sistem pendidikan namun malangnya kebanyakan rintihan dan aduan ini diendahkan,” katanya.

Semalam, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang bermesyuarat berhubung isu membabitkan Mohd Fadli akan memaklumkan keputusannya pada Selasa (hari ini).

“Persidangan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan berhubung isu tersebut baru sahaja tamat  dan esok urus setia akan sampaikan keputusan kepada cikgu (Mohd Fadli),” katanya kepada pemberita semasa menghadiri program sukan ‘Touch’ semalam.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Pkharuddin Ghazali berkata Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang semalam selepas menerima representasi yang dikemukakan oleh Mohd Fadli pada 14 Oktober lepas.

Pkharuddin berkata surat yang diterima Mohd Fadli tidak membawa maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan. – 18 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen