Bagaimana tosai menjadi tose? Atau cerita bagaimana India tertindas


Faisal Tehrani

Kaum India hari ini merasa cukup terhina tatkala Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi pakar makanan mereka dan tolong mengejakan tosai atau dosa menjadi tose. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2022.

MEMANG antara makanan yang sedap dan tidak tinggi kalorinya ialah tosai.

Masalah kita hari ini ialah apabila tosai dieja tose. Kaum India merasa cukup terhina tatkala Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi pakar makanan mereka dan tolong mengejakan tosai atau dosa menjadi tose.

Akan tetapi apa yang menjadikan ia satu masalah?

Jawapannya ada pada punca masalah, iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Saya pernah menulis mengenai masalah ini dalam satu keluaran khas jurnal Svara.

Apabila kerajaan Pakatan Harapan jatuh, saya bertemu dengan bekas menteri belia dan sukan, Syed Sadiq Abdul Rahman; lantas saya memberitahu beliau masalah paling besar untuk negara kita ialah Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Tosai menjadi tose ini bermula dengan Kongres Kebudayaan Kebangsaan (KKK) dari 16 hingga 20 Ogos 1971 (selama lima hari) apabila sekumpulan sarjana berhimpun di Universiti Malaya Kuala Lumpur untuk membincangkan penggubalan satu dasar kebudayaan bersifat kebangsaan.

Adalah sangat menyedihkan hanya ada beberapa orang India sahaja dalam kongres tersebut, Krishen Jit, antara lain. Dan kumpulan sarjana itu kalah dengan idea yang kebudayaan kebangsaan itu mestilah Melayu-Islam.

Justeru, Kongres anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu telah menerima:

I. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat rantau ini.

II. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan.

III. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan itu.

Sejak itulah saya kira, orang Melayu boleh menentukan kata keling misalnya tidak menghina. Memang asal dan akar katanya itu bermaksud satu peradaban yang unggul, tetapi hari ini orang India tidak dapat menerimanya.

Pembentang pertama ketika Kongres membentuk Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini ialah Ismail Hussein dengan tajuk Kesusasteraan Nasional Malaysia dan Beberapa Masaalah Pembentukan-Nya’ pada 16 Ogos 1971. 

Saya tidak tahu apa asasnya apabila beliau menggambarkan kebudayaan kaumTionghua dan India sebagai ‘kebudayaan yang tertutup’ berbanding kebudayaan Melayu. Kebudayaan Tionghua dan India juga disebut tidak ‘par excellence’, ‘kurang keperchayaan diri sendiri’, ‘pemberontakan terhadap nilai2 feodalisme’.

Tokoh dan gagasan paling dominan dan berkuasa di Kongres tersebut adalah Syed Muhammad Naguib al-Attas yang mengemukakan kertas bertajuk ‘Nilai2 Kebudayaan Dalam Bahasa dan Kesusasteraan Melayu’. Pembentangan Naguib ini diletakkan sebagai ‘seminar dasar’.

Ini bermakna idea beliau akan ditokohkan. Mereka yang berada di dewan sampingan tidak akan ditokohkan.

Sebahagian daripasa inti pandangan Naguib di Kongres ini adalah malangnya memomokkan budaya pra Islam.

Sebagai contoh tamadun Jawa Kuno diberi semacam satu persepsi; “bahasa Melayu sudah diperislamkan merupakan bahasa yang saintifik berlawanan dengan bahasa yang estetik, iaitu misalnya jikalau diperbandingkan dengan bahasa Jawa Kuno’. Dalam hal ini, estetik diturunkan manfaatnya sebagai satu ‘rasa’ berbanding ‘saintifik’ yang memiliki nilai penaakulan.

Bahkan kebudayaan pra Islam juga dimomokkan sebagai ‘tidak moden’ di mana kata Naguib; ”...pembalikan semula kepada nilai2 estetik pra-Islam, kepada nilai2 Hinduisma dan Buddhisma dan kepada nilai2 Jawa Kuno dan lain2 lagi yang nantinya akan bertentangan dengan suasana moden dan pandangan hidup masharakat Islam sendiri. Saya yakin bahwa konsep kedaerahan yang sedang mendakyahkan nilai2nya ini bukan berasal dari hasrat  idaman masharakat kita.”

Ucapan Naguib ini sebahagian besarnya adalah bertunjangkan dari dua karya ilmiah beliau iaitu pertamanya, ‘Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay Indonesian Archipelago’ (1969) dan ucapan pengukuhan Profesornya yang belum berjalan ketika itu, tetapi sudah disebut-sebut dalam pembentangan beliau di Kongres iaitu ‘Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ (1971).

Saya telah menulis panjang perihal Naquib ini dalam monograf saya untuk ISEAS-Yusuf Ishak dengan judul ‘Naquib Al-Attas’ Islamization of Knowledge: Its Impact on Malay Religious Life, Literature, Language and Culture’  (sila muat turun di sini). Pembaca yang berminat bolehlah membacanya.

Menurut saya inilah sebab-musabab awal kepada permusuhan tosai dan tose ini. Iaitu pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang sangat tidak seimbang dan sebelah pihak. Bahkan ketika dasar ini digubal, semua kaum tidak diwakili dengan menyeluruh, apatah lagi yang dari Sabah dan Sarawak.

Umno dan Barisan Nasional tidak berminat dengan apa-apa usaha untuk membetulkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini. Tiada usaha ke arah ini. Bahkan pemuja-pemuja Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini dek kerana mengagungkan Syed Muhammad Naguib al-Attas telah menafikan hak-hak umat Nasrani untuk menggunakan banyak kalimah Arab yang diIslamkan.

Justeru kata Allah atau iman misalnya menjadi eksklusif dan hak milik satu kaum. Puncanya Naquib, yang membuka jalan agar Melayu-Islam menjadi tonggak satu dasar kebudayaan, meleburkan hak tosai dengan tose.

Pemuja Naquib dalam kabinet Perikatan Nasional antara lain ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Suka saya mengingatkan Naquib al-Attas adalah pencipta logo dan bendera Umno. 

Demikianlah India meraikan Deepavali tahun ini, menelan tose yang dipantakkan ke mulut mereka. Bukan tosai, tapi tose, kata Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anehnya, ramai India yang bising di media sosial. Tetapi di peti undi mereka tetap bersama-sama tose.

Itulah cerita bagaimana India tertindas. – 18 Oktober, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen