CUTI anggota polis dibekukan sehingga tamat pilihan raya umum ke-14 tahun ini, umum Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata cuti kakitangan itu sudah dibekukan untuk beberapa minggu, sekaligus memberi petunjuk bahawa pilihan raya makin hampir.
“Saya sudah arahkan cuti (polis) dibekukan sehingga selepas pilihan raya. Arahan ini telah berkuatkuasa dari beberap minggi lepas,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama kontigen polis Kuala Lumpur pagi tadi.
Beliau bagaimanapun tidak melayan soalan lain yang tidak ada kena mengena dengan lawatannya hari ini.
Seorang wartawan cuba untuk mendapatkan respons daripada beliau berhubung tindakan pihak berkuasa Indonesia merampas kapal layar mewah Equanimity yang didakwa dibeli hasil penyelewengan wang 1MDB namun gagal.
Zahid yang juga menteri dalam negeri menambah siap siaga polis untuk pilihan raya umum kali ini berada di tahap 99%.
Persediaan termasuk mengambil langkah perlu sebelum pembubaran Parlimen sehingga hari membuang undi.
Zahid mendakwa beliau tidak pasti mengenai tarikh pilihan raya tetapi menegaskan bahawa semua persediaan sudah dilaksanakan pada skala “luar biasa”
Peguam Negara Apandi Ali seperti dilaporkan Malaysiakini berkata Putrajaya tidak akan menuntut Equamity yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa membeli kapal layar mewah tersebut menggunakan wang hasil penyelewengan dana 1MDB.
Kecurian dana 1MDB sedang disiasat di beberapa negara dan kapal layar bernilai AS$250 juta itu tersenarai tindakan mahkamah yang difailkan Jabatan Kehakiman AS bagi merampas aset yang dibeli daripada hasil penyelewengan dana oleh Low. – 2 Mac, 2018.
Komen