ISU pemilihan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kerjasama dengan PAS antara tumpuan utama dalam mesyuarat Umno bahagian yang berlangsung hujung minggu lalu, kata pemimpin akar umbi.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, ia paling banyak dibangkitkan dalam persidangan kerana faktor itu akan memenangkan Umno jika diperhalusi dan diperbaiki pemimpin tertinggi.
Di Johor, mesyuarat paling hangat antaranya berlangsung di bahagian Segamat, kawasan dirampas calon PKR pada 2018 yang kemudian melompat parti ke Bersatu dan kini ke Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ketua Pemuda Umno Segamat, Bastien Onn berkata perwakilan mendesak agar kerusi tersebut dikembalikan kepada parti Melayu.
“Kerana mereka (ahli) rasa nak menang, keberangkalian menang itu tinggi,” katanya.
Kerusi tradisi MIC tersebut gagal dipertahan veteran parti itu, S Subramaniam dalam PRU14, dan kini penyandangnya Santhara Kumar berhasrat mempertahankannya semula.

Pemerhati politik menjangka semua calon PBM akan kalah teruk dalam pilihan raya umum tidak lama lagi kerana dilihat tidak mampu mendapatkan penyokong atau meyakinkan pengundi.
Sekiranya menang, wakil rakyat ini juga tidak berpeluang untuk melompat parti lagi memandangkan undang-undang baharu mengekang aktiviti tersebut sudahpun berkuatkuasa.
Mengulas lanjut, Bastien berkata, mereka bagaimanapun akan akur dengan sebarang keputusan pemimpin tertinggi Umno dan BN.
Tambahnya isu kerjasama Umno dan PAS juga menjadi perdebatan hangat namun mesyuarat bahagian Segamat menerima keputusan parti tidak bekerjasama dengan parti Islam itu.
Beliau berkata, Umno Johor tidak akan terkesan atau rugi jika PAS tidak bekerjasama dengan mereka.
“Umno Segamat akan ikut pucuk pimpinan dan kita yakin Umno di Johor boleh berdiri tanpa PAS,” katanya.
PAS yang pertama kali bertanding di kawasa Parlimen Segamat pada 2018 hanya meraih lebih 2,600 undi berbanding calon BN yang mendapat lebih 18,000 undi.
Persidangan bahagian Umno berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam dan melibatkan 191 bahagian.
Persidangan itu juga tanpa melibatkan pemilihan selepas Umno meminda perlembagaannya untuk diadakan selepas PRU15 pada Mei lepas.
Umno akan dibenar menangguhkan pemilihannya sehingga enam bulan selepas PRU15 atau sehingga 18 bulan dari akhir penggal pucuk pimpinannya, yang mana lebih lewat.

Di Terengganu, seorang perwakilan yang enggan namanya disebut berkata majoriti akar umbi mahu pucuk pimpinan meletakkan calon bersih tanpa skandal dalam PRU kali ini.
Selain itu perwakilan dari Kuala Terengganu itu berkata mereka juga mahu pemimpin parti menampilkan lebih ramai muka baharu terutama dari kalangan anak muda sebagai calon.
“Strategi itu sangat penting untuk menarik sokongan anak muda yang kita tahu mereka pengundi atas pagar yang tidak siapa pun boleh jangka apa sentimen mereka.
“Ini tidak seperti pengundi tradisi yang mudah dibaca. Ini sepatutnya dijadikan penekanan kepada pimpinan jika betul kita nak menang semua dengan majoriti besar,” katanya.
Setakat April 2022 jumlah pengundi baharu di Terengganu dilaporkan mencecah hampir 300,000 orang melibatkan kategori umur antara 18 hingga 20 tahun dan 21 tahun hingga 30 tahun.
Pada masa sama pewakilan itu berkata akar umbi berharap pimpinan tidak lagi mengulangi kesilapan pada PRU14 apabila menampilkan barisan calon luar yang tidak kuat.
Ujarnya ia merupakan antara faktor kekalahan Umno di Terengganu kerana meletakkan calon tidak bertepatan dengan selera pengundi.
“Pengundi di Terengganu mereka sukakan calon tempatan. Jika calon itu orang luar balik untuk menjadi calon, akan ada penolakan di kalangan penyokong.
“Ini yang berlaku di kerusi Parlimen Kuala Nerus pada PRU14. Umno kalah teruk kepada PAS dengan majoriti besar kerana faktor calon luar ini,” katanya.
Kuala Nerus merupakan antara 27 kerusi yang disebut-sebut sebagai medan yang bakal menyaksikan saingan paling sengit antara Umno dengan PAS dalam PRU15.
Sentimen sama ditunjukkan perwakilan Umno bahagian Marang yang mengemukakan usul khusus untuk menolak calon payung terjun dalam PRU15.
Ketua bahagiannya, Nik Dir Nik Wan Ku yang juga ketua penerangan Umno Terengganu berkata calon yang diputuskan mesti terdiri dari pemimpin dalam stuktur politik parti semasa.
“Kita nak orang dalaman, dalam bahagian kita sendiri. Yang tak ada dalam kepimpinan, orang luar kita tak kenal tiba-tiba datang jadi calon itu kita tolak,” tegasnya.

Di Bandar Tun Razak, salah satu kerusi majoriti Melayu di Kuala Lumpur, bahagian tersebut terkilan kerana tidak dapat bekerjsama dengan PAS dalam PRU15.
Ketua bahagiannya Razak Rizalman Mokhtar dalam ucapannya berkata keputusan PAS memilih Perikatan Nasional mengecewakan akar umbi.
Namun tegasnya, keputusan PAS itu sesekali tidak menjejaskan Umno dan yakin parti Melayu itu boleh bergerak solo meraih sokongan dan seterusnya memenangi semula kerusi tersebut.
“Saya ingin katakan ini kerana saya tidak mahu rakyat di luar menuduh Umno yang memungkiri janji terhadap penyatuan ummah ini. Sebaliknya Umno sentiasa membuka ruangan yang besar.
“Umno sentiasa membuka ruang pandangan dan juga cadangan supaya gagasan penyatuan ummah ini dapat diperkasakan dan juga dipertahankan.
“Tetapi apabila PAS secara rasmi telah membuat keputusan maka kita sama seperti dahulu kita bergerak di bawah BN solo untuk menghadapi dan meyakinkan rakyat supaya terus menyokong.”
PAS pada minggu lalu memutuskan PN sebagai sekutu untuk menghadapi PRU15, yang menurut presidennya Abdul Hadi Awang dibuat atas prinsip penyatuan ummah.
Ia diputuskan selepas kata dua Umno memandangkan Bersatu sudahpun menetapkan parti pimpinan Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai musuh dalam PRU15. – 18 Oktober, 2022.
Komen