PRU15: Bubar sudah jelas, teka-teki kekal


G Manimaran

EMPAT tahun lalu, ketika kita menantikan dengan penuh debaran kehadiran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dalam empat hari rakyat sudah mengetahui tarikh utama pilihan raya – hari penamaan calon dan hari pengundian. Aturan tarikh itu agak jelas.

Najib Razak mengumumkan pembubaran pada 6 April, 2018 yang berkuat kuasa keesokan hari, Sabtu, dan disusuli dengan langkah kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak yang melangsungkan pilihan raya negeri (PRN) pada 2016.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas pada 10 April bagi menetapkan tarikh pilihan raya.

Semua proses awal itu, yang merupakan sebahagian daripada hampir 30 proses keseluruhan dalam rantaian pengurusan pilihan raya, selesai dilaksanakan.

Semalam, genap seminggu sejak Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan Parlimen akan dibubarkan, kali ini berkuat kuasa pada hari sama iaitu 10 Oktober, dan meminta semua negeri, kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor, mengambil langkah sama.

Malah, ketidaktentuan awal ini juga dilihat antara faktor yang membawa kepada keputusan SPR mengadakan mesyuarat khas 10 hari – Khamis ini selepas pembubaran Parlimen.

Empat tahun lalu, kesemuanya diaturkan dengan baik lagi lancar dan kelihatan teratur. Kali ini SPR mengambil langkah selamat dengan “tunggu dan lihat” apa yang akan berlaku di peringkat negeri, sama ada DUN akan dibubarkan, minggu lepas, bagi membolehkan PRU diadakan serentak.

Ketidaktentuan ini dikaitkan dengan pendirian kerajaan masing-masing mahu mengambil berat tentang kepentingan rakyat mereka.

Ismail Sabri ketika mengumumkan pembubaran Parlimen menekankan beliau mahu kembali kepada rakyat dalam memperoleh mandat baharu dengan menamatkan cakap-cakap nakal mengenai status kerajaan semasa, yang tercetus pada Februari 2020.

Di pihak kerajaan negeri pula mereka tidak mahu mengekori jejak pusat kerana ingin memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dengan tidak mahu mengadakan PRU ketika musim tengkujuh.

Masing-masing mempunyai alasan tersendiri.

Pun begitu ketidaktentuan berterusan ketika fokus mengarah kepada kewujudan kos tambahan jika PRU bagi DUN enam negeri diadakan berasingan. Dianggarkan ia akan menelan RM600 hingga RM700 juta mengambil kira lebih RM400 juta dibelanjakan untuk PRN Sabah (2020), Sarawak dan Melaka (2021) dan Johor (2022).

Dengan ketidaktentuan minggu pertama selepas pembubaran Parlimen, bilakah pengundian peringkat pertama PRU15 bakal ditetapkan. Tanggal 5, 12 atau 19 November?

Kedua-dua 5 dan 12 November boleh dilupakan kerana rapat dengan tarikh sambutan hari keputeraan Sultan Perak dan Kelantan.

Sekiranya hari Sabtu menjadi pertimbangan demi kepentingan semua pemegang taruh, bermakna kemungkinan SPR akan memilih 19 November sebagai hari pengundian dengan 6 November sebagai hari penamaan calon.

Polemik yang menghantui pemegang taruh dilihat akan memperkukuhkan kesinambungan ketidaktentuan landskap politik negara dalam bulan akan datang.

Kita ada banyak lagi penentu ketidaktentuan, dan akan diulas dalam artikel menyusul. – 17 Oktober, 2022.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen