Sultan Perak perkenan DUN bubar berkuatkuasa hari ini, kata Saarani


Menteri Besar Saarani Mohamad berkata pembubaran DUN Perak dilakukan selepas beliau menerima warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2022.

PERAK membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata pembubaran DUN dilakukan selepas beliau menerima warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

“Watikah tersebut diperoleh pada Ahad,” katanya pada sidang media di Tapah, Perak.

Dilapor pada Rabu Saarani pertama kali menghadap Sultan Nazrin bagi mempersembahkan hasrat pembubaran DUN sebelum dititahkan sekali lagi menghadap pada Jumaat.

Menurut Saarani warkah permohonan pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Saarani turut menyembah maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober serta syor supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRU15 diadakan serentak.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN.

DUN Perak kini terdiri daripada 25 Adun Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu). – Bernama, 17 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen