BN tanding 191 kerusi, turut calonkan Friends of BN


Ravin Palanisamy

Zahid berkata BN tidak melupakan rakan sekutunya pada pilihan raya kali ini. – Gambar Facebook Zahid Hamidi, 16 Oktober, 2022.

BARISAN Nasional (BN) akan bertanding di 191 kerusi Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kecuali 31 kerusi di Sarawak kata Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami akan tanding di 191 kerusi Parlimen. Ini termasuk kerusi bagi calon Umno dan parti komponen dalam BN,” kata Presiden Umno itu pada mesyuarat tahunan Umno Bahagian Bagan Datuk di Bagan Datuk, Perak, hari ini.

Menurut Zahid buat pertama kali, rakan sekutunya, Friends of BN akan dicalonkan pada pilihan raya umum.

“Kami tidak akan pernah melupakan calon-calon yang datang dari Friends of BN.

“Ini pertama kali kita akan bagi peluang (bertanding) kepada calon daripada Friends of Barisan Nasional,” katanya.

Terdapat 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara namun Umno tidak bertanding di 31 kerusi yang terdapat di Sarawak.

Friends of BN merupakan rakan sekutu BN namun bukan sebahagian daripada BN yang dianggotai Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Sementara parti baharu dibentuk, Parti Bangsa Malaysia telah memohon untuk menyertai BN namun masih tiada keputusan dibuat.

BN dianggotai Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Zahid berkata gabungan itu juga bakal mempertaruhkan 70 peratus muka baharu pada PRU15 nanti.

Penyandang Parlimen Bagan Datuk itu berkata calon yang dipilih itu nanti berkaliber, berkelulusan akademik, berakhlak baik serta mempunyai komitmen tinggi membantu rakyat.

Tambahnya lagi, daripada kesemua jumlah calon yang akan diketengahkan BN nanti 30 peratus akan terdiri daripada sayap Wanita dan Puteri Umno. – 16 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen