KEGAGALAN Bersatu untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang boleh menjadi pengakhiran kepada parti itu, dengan ahlinya kembali semula kepada Umno atau menyertai PAS, kata Isham Jalil.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata prestasi buruk Bersatu pada PRU15 juga bakal menyaksikan penyudahan kepada Perikatan Nasional, kerjasama politik yang diterajuinya bersama PAS.
“Saya tak pandang rendah kepada mereka (Bersatu), tetapi berdasarkan trend semasa, saya tak fikir rakyat akan sokong (ahli politik) yang melompat parti,” katanya dipetik Free Malaysia Today.
Katanya, Umno mungkin akan menerima semula ahli Bersatu kembali ke parti Melayu itu.
“Mungkin mereka akan sedar yang mereka perlu bubarkan parti (Bersatu) untuk kembali (ke Umno),” tambahnya.
Bersatu diasaskan bekas pemimpin Umno termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, sebagai parti Melayu baharu bagi menggantikan Umno yang dakwa mereka sudah dicemari korupsi.
Ia menyertai Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas, dan selepas itu mengukuhkan kedudukan dengan menerima ramai ahli Parlimen yang keluar dari Umno.
Kebanyakan pemimpin kanan dan wakil rakyat Bersatu adalah dari Umno.
Bersatu bagaimanapun menjadi dalang kejatuhan kerajaan PH hanya selepas 22 bulan dengan menarik balik sokongan mereka dan bekerja dengan PAS dan Umno untuk membentuk kerajaan.
Walaupun hubungannya dengan Umno sentiasa bergolak, Bersatu mempunyai hubungan kuat dengan PAS.
“Ramai dalam PN adalah mereka yang lompat parti, dari Umno, dari Pakatan Harapan, jadi mereka akan berdepan masalah (kerana) mereka hanya boleh bergantung kepada PAS,” kata Isham.
“Jika Bersatu kalah banyak kerusi kali ini, PAS akan melihat yang mereka dicemari kerana kerjasama dengan mereka yang mengkhianati (mandat rakyat) dan menamatkan kerjasama,” katanya dipetik berkata.
Isham juga berkata yang PAS sudah kalah di pilihan raya negeri Melaka dan Johor ketika bersama PN.
Kekalahan pada PRU15 mungkin menyaksikan mereka meninggalkan Bersatu, ramal Isham lagi.
Apabila ia berlaku, katanya, Bersatu akan berpecah dengan ahlinya kembali menyertai Umno.
“Dan jika mereka tak suka Umno, mereka boleh sertai PAS,” katanya.
Tambah Isham lagi, pada masa kini terdapat terlalu banyak parti Melayu, mencadangkan parti kecil untuk bubar dan menyertai sama ada Umno atau PAS demi perpaduan Melayu. – 16 Oktober, 2022.
Komen