P. Pinang akur keputusan Pakatan tidak bubar DUN, kata ketua menteri


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Majlis Presiden Pakatan Harapan bukan tidak setuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15, tetapi kalau boleh diadakan secara serentak di semua negeri pimpinan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2022.

DAP telah sedaya upaya untuk meyakinkan pimpinan Pakatan Harapan (PH), berhubung hasrat Pulau Pinang mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Majlis Presiden PH bukan tidak setuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15, tetapi kalau boleh diadakan secara serentak di semua negeri pimpinan PH.

“Oleh kerana tidak dapat mencapai keputusan itu (negeri-negeri PH bubar) maka diputuskan ketiga-tiga negeri ambil tindakan selari, iaitu kalau bubar sama-sama bubar… kalau tidak bubar, tidak semua. DAP Malaysia dan Pulau Pinang telah sedaya upaya yakinkan pucuk pimpinan (PH), dan kami juga diberi peluang untuk berbincang secara menyeluruh berhubung perkara tersebut.

“Sekarang kita terima keputusan itu (tidak bubar) dan fokus kepada PRU15, di Pulau Pinang masih ada PRU15 dengan 13 kerusi Parlimen dipertandingkan di sini. Kita akan fokus segala sumber serta gerak kerja bagi pastikan PH dapat menang sebanyak mungkin kerusi di sini (Pulau Pinang),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Jagaan Suria, di Sungai Ara hari ini.

Mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, tidak akan dibubarkan sehingga tahun depan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pendirian asal PH untuk tidak membubarkan DUN Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada tahun ini harus dikekalkan, bagi mengelak keadaan yang akan menggambarkan PH tidak bersatu.

Mengulas lanjut, Chow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata kerajaan negeri berharap rakyat menerima keputusan yang dibuat itu, walaupun sedar ada pihak yang kecewa namun pihaknya juga telah sedaya upaya mencuba termasuk melalui proses rayuan, berhubung perkara tersebut dengan Majlis Presiden PH.

“Pada asalnya keputusan sudah dibuat dan kita membuat rayuan, bila kata ada proses rayuan mesti ada keputusannya…kita harap pengundi faham, walaupun ada yang kecewa termasuk pihak media kerana terpaksa buat kerja dua kali.

“Tapi ini satu keputusan dan proses demokrasi dan yang penting semua penyokong serta ahli parti tumpu perhatian apa yang penting pada PRU15 nanti, kukuhkan semangat demokrasi untuk capai kemenangan nanti,” katanya.

Chow berkata beliau juga telah menyampaikan keputusan rasmi PH, yang tidak mahu membubarkan DUN Pulau Pinang kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak, hari ini.

Ketika ditanya bila PRN Pulau Pinang akan diadakan tahun depan, Chow berkata ketiga-tiga negeri pimpinan PH perlu membuat keputusan sebulat suara, untuk mengadakan PRN pada masa yang sama tahun hadapan.

Sehingga kini, hanya Pahang dan Perlis yang ditadbir Barisan Nasional (BN) telah membubarkan DUN masing-masing, manakala PAS yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah, juga mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN di tiga negeri berkenaan. – Bernama, 15 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen