Umno Terengganu enggan serah Kuala Nerus pada Khairuddin


Diyana Ibrahim

Penyandang kerusi Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali keluar PAS pada Mac selepas jawatannya dalam parti digugurkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2022.

UMNO Terengganu menolak permintaan penyandang kerusi Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali untuk bertanding atas tiket parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pengerusinya Ahmad Said.

Jelas Ahmad, keputusan itu dibuat atas prinsip Umno Terengganu yang menolak kerjasama bersama dengan PAS sejak awal dan juga kerana beliau tidak dapat menaruh kepercayaan terhadap presiden parti Islam itu.

Katanya, pendirian itu sudah pun dinyatakan kepada pemimpin tertinggi Umno apabila beliau disoal sama ada Umno boleh meletakkan Khairuddin sebagai calon.

“Saya tak tahu lah kot mereka nak uji saya. Saya kata minta maaf lah. Saya orang pertama yang tentang kerjasama Umno-PAS.

“Saya tak percaya Presiden Abdul Hadi Awang. Ayat al-Quran pun dia boleh tafsir sesuka hati,”  katanya semasa merasmikan mesyuarat Umno Kemaman di Terengganu hari ini.

Pendiriannya itu menjawab spekulasi yang timbul minggu ini bahawa bekas menteri perladangan dan komoditi itu akan menyertai Umno.

Ia susulan tindakan Khairuddin menyiarkan gambarnya bersama Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan di pelantar Facebooknya selepas Parlimen dibubarkan pada Isnin.

Dengan keputusan itu juga, beliau yakin peluang Umno akan meningkat kepada 50% untuk memenangi kerusi Kuala Nerus, selain mengekalkan empat kerusi yang dikuasai waktu ini.

Khairuddin yang menggondol pelbagai kontroversi sewaktu menjadi menteri keluar PAS pada Mac selepas jawatannya dalam parti digugurkan.

Pada masa sama Ahmad yang juga Adun Kijal menafikan Umno akan terjejas dengan tindakan PAS mengekalkan pentadbiran dan tidak membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

Ahmad sebaliknya yakin keputusan PAS itu akan memberi kelebihan kepada Umno di Terengganu.

“Saya tak rasa ada kesukaran, malah kita mengalu-alukan cuma yang sedihnya dari segi perbelanjaanlah sebab libatkan dua kali pilihan raya.

“Bagi saya ia beri kelebihan. Jika Barisan Nasional kembali menerajui pusat dan negeri lain pun kita akan menang dan ia akan membantu kemenangan di Terengganu,” katanya.

Pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan pada Isnin. – 15 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen