UMNO Terengganu berpeluang lebih besar untuk memenangi satu lagi kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya penyandang kerusi Kuala Nerus bertanding Bebas, kata pengerusinya Ahmad Said.
Menurutnya, peluang Umno di Kuala Nerus meningkat kepada 50% sekiranya Khairuddin Aman Razali yang kini tersingkir dari PAS berbuat demikian.
Pada masa sama, Umno Terengganu juga yakin dapat mempertahankan Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut yang dikuasai waktu ini, katanya.
Bekas menteri besar Terengganu itu berkata, senarai 42 calon Umno Terengganu sudah pun dikemukakan kepada barisan pemimpin tertinggi Umno.
“Kita dah menghadap (lima pemimpin tertinggi Umno). Insya-Allah Umno Terengganu boleh menang empat kerusi tersebut.
“Kuala Nerus pula (peluang) 50-50 jika perkiraan yang kita dapat, Khairuddin akan bertanding sebagai calon bebas,” katanya dalam ucapan di mesyuarat Umno Kemaman hari ini.
Adun Kijal itu juga mengesahkan beliau tidak akan bertanding kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum kali ini.
Beliau berkata berhasrat mahu mempertahankan kerusi DUN Kijal seterusnya untuk membantu membangunkan negeri Terengganu semula.
“Saya masih mahu kekal bertanding di negeri kalau diberi peluang. Terpulang kepada pucuk pimpinan nak letak saya di DUN mana,” katanya.
Beliau juga menolak andaian bahawa langkah itu membayangkan beliau akan dicalonkan sebagai menteri besar dan menjelaskan pencalonan ke jawatan itu keputusan pemimpin tertinggi Umno.
PAS bagaimanapun memutuskan DUN Terengganu dan dua lagi negeri dikuasainya, Kelantan dan Kedah, tidak akan dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU.
Selain Kemaman dan Setiu, Kuala Nerus merupakan salah satu dari tiga kerusi Parlimen yang dimenangi PAS dengan majoriti kurang 10,000 undi dalam PRU15.
Ahli Parlimen kawasan itu, Khairuddin Aman Razali menjadi wakil rakyat bebas sejak Mac lalu, sejak mengumumkan keluar PAS.
PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada Isnin lalu. – 15 Oktober, 2022.
Komen