PENGANALISIS politik meramalkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bertukar “panas” walau pandangan umum terhadap pemilihan itu “dingin” kerana diadakan ketika musim tengkujuh.
“Ramai orang kata mereka tidak peduli,” kata pakar tadbir urus Asia dari Universiti Tasmania, James Chin.
“Saya rasa itu tidak benar,” katanya, menambah sekarang ini rakyat masih berdiam diri.
Namun, apabila bermulanya kempen, mereka akan sedar betapa banyaknya isu yang dipertaruhkan.
“Ekonomi terancam. Kestabilan politik terancam.”
Chin berkata kesedaran itu mungkin dapat dilihat sejurus selepas hari penamaan calon.
Beliau berkata pemilihan kerajaan baharu selepas dua tahun mengharungi Covid-19 adalah sangat mustahak.
“Ramai orang tidak sedar Covid ini benar-benar telah menjejaskan negara sehingga ke terasnya.”
Malah, Chin berkata “banyak salah lapor” mengenai kerosakan oleh pandemik terhadap ekonomi memberi gambaran yang serong tentang situasi itu.
Untuk lebih memahami apa yang telah dilakukan pandemik kepada ekonomi, Chin berkata cara paling mudah adalah dengan melihat kumpulan pendapatan yang digunakan untuk membezakan jenis penerima pendapatan di Malaysia.
Beliau berkata sebelum pandemik, kerajaan melihat Malaysia sebagai sebuah negara di mana 20 peratus penduduk memperoleh pendapatan tertinggi yakni kumpulan T20, manakala M40 adalah 40 peratus rakyat yang berada di pertengahan selain B40, sebanyak 40% penduduk berpendapatan terbawah.
“Covid-19 telah mengubah keseluruhan senario itu.”
Beliau berkata walaupun T20 kekal tidak terjejas oleh pandemik, perubahan terbesar adalah pada M40 yang telah menyusut sebanyak 10 peratus untuk digelar sebagai M30.
Oleh itu, Chin berkata ini menjadikan setengah rakyat Malaysia (50 peratus) berada dalam kumpulan 50 terbawah. – 15 Oktober, 2022.
Komen