Bersih gesa SPR perjelas isu tukar kawasan mengundi tanpa kebenaran


Desmond Davidson

Bersih berkata proses dan perubahan yang tidak diumumkan akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap SPR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2022.

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan pertukaran kawasan buang undi tanpa kebenaran pengundi.

Bersih berkata proses dan perubahan yang tidak diumumkan akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap SPR dan lebih membimbangkan dalam proses pilihan raya.

Badan pilihan raya itu dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima beberapa aduan daripada orang ramai yang mendakwa DUN dan kawasan Parlimen kawasan mereka berdaftar ditukar tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.

Ia memberikan dua kes di Sabah dan satu di Selangor.

Bersih berkata dua pengundi Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 dan pilihan raya negeri Sabah pada 2020, membuang undi di Parlimen Tawau dan DUN Sri Tanjung.

Bagaimanapun, mereka mendakwa kini dipindahkan ke Parlimen Kalabakan dan DUN Merotai.

Di Selangor, Bersih berkata Timbalan Pengerusi PKR cabang Batu Rozan Azen Mat Arip juga mendakwa empat pengundi di cabang itu mendapati mereka kini pengundi di kerusi Parlimen Gombak, Wangsa Maju dan Kepong.

Bersih berkata daripada siasatannya terhadap semua dakwaan itu, tiada seorang pun pengundi memfailkan aduan meminta perubahan sedemikian di bawah Seksyen 12A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Di bawah seksyen itu, seorang pengundi yang ingin menukar tempat mengundinya, perlu memfailkan dalam Borang A yang lengkap - untuk menukar alamat mereka - kepada SPR.

Dalam kes PKR cabang Batu, Bersih turut mempersoalkan mengapa Rozen ditangkap dan digari polis serta disiasat mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan.

“Apakah sebab Rozen ditahan jika beliau hanya membantu pengundi menyemak status dan lokasi mengundi mereka?

“Sekiranya berlaku pertukaran tempat mengundi tanpa persetujuan pengundi, polis sebaliknya perlu menyiasat dalang di sebalik pertukaran itu dan bukannya menahan pengadu,” katanya. – 15 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen