Tiada sebab tunduk kepada pilihan raya serentak, kata penganalisis politik


Desmond Davidson

Negeri yang ditadbir PAS dan Pakatan Harapan memutuskan untuk tidak membubarkan DUN walaupun PRU15 akan dijalankan dalam masa terdekat.

DEWAN Undangan Negeri Pahang adalah DUN pertama yang dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan bersama-sama Pilihan Raya Umum Ke-15, tetapi penganalisis politik tidak percaya DUN lain yang mengikut langkah itu.

“Ia permainan kuasa,” kata profesor sains politik Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Hanya nak tunjuk siapa berkuasa di peringkat negeri. Mengapa perlu kerajaan negeri diperintah bukan BN mengikut kerajaan persekutuan dibawah kepimpinan BN, yang diputuskan Umno?” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan The Malaysian Insight mengapa kebanyakan negeri -kecuali Sarawak, Sabah, Johor dan Melaka yang DUN berusia bawah dua tahun- masih belum dibubarkan walaupun Parlimen sudah dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

Sehingga kini, enam negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor – menyatakan yang mereka tidak akan membubarkan DUN mereka bagi mengadakan pilihan raya serentak dengan pemilihan ahli Parlimen.

Pulau Pinang pula masih belum membuat keputusan, negeri itu dijangka membuat keputusan hari ini.

Kelantan, Terengganu, Kedah yang ditadbir PAS, manakala Negeri Sembilan dan Selangor dibawah PKR dan DAP mentadbir Pulau Pinang.

Jawan berkata sebelum 2018, menjadi kebiasaan untuk pilihan raya persekutuan dan negeri diadakan serentak – kecuali Sabah dan Sarawak- kerana ia di bawah satu pakatan politik, Barisan Nasional.

“Ada kelebihan untuk bertanding pilihan raya umum sebagai pakatan pemerintah.

“Mereka boleh guna kelebihan pejabat (agensi kerajaan) untuk berkempen bagi calon persekutuan, dan mereka berdepan kurang kekangan pilihan raya kerana mereka bergerak ke semua tempat sebagai pemimpin kerajaan semasa, dan bukannya ahli parti politik yang berkempen untuk calon parti mereka,” kata Felo Akademi Sains itu.

Pakar sains politik James Chin dari Universiti Tasmania dan Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, bagaimanapun, berkata negeri tidak ditadbir BN hanya bermain selamat dengan tidak melakukan semua perkara serentak.

“Kerajaan negeri bukan BN ini teragak-agak, sebab utamanya adalah isu keyakinan. Itu sangat jelas,” kata Chin.

Tambahnya mereka tidak pasti akan prestasi mereka pada PRU kali ini.

“Kerana mereka tidak yakin, lebih baik main selamat.” – 15 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen