Amirudin tidak buat permintaan bubar DUN kepada Sultan Selangor 


Selasa lalu, Menteri Besar Amirudin Shari memaklumkan Sultan Selangor berkenan agar pentadbiran kerajaan negeri itu penggal ini diteruskan susulan pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa 10 Oktober supaya dapat memfokus kepada usaha menjamin kesejahteraan rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2022.

MENTERI Besar Amirudin Shari tidak membuat permintaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi sesi menghadap pada 11 Oktober lepas, Amirudin tidak membuat permintaan itu dan berhasrat meneruskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Susulan itu, baginda mengambil maklum akan kedudukan ini dan mengharapkan agenda pembangunan Selangor yang telah dirancang dapat diteruskan demi kepentingan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Mohamad Munir berkata ini berikutan terdapat beberapa kenyataan yang kurang tepat dilaporkan di akhbar dan media sosial berhubung keputusan Kerajaan Selangor untuk tidak membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya pada tahun ini.

Selasa lepas, Amirudin memaklumkan Sultan Selangor berkenan agar pentadbiran kerajaan negeri itu penggal ini diteruskan susulan pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa 10 Oktober supaya dapat memfokus kepada usaha menjamin kesejahteraan rakyat.

Amirudin berkata perkara itu dititahkan ketika beliau menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, dalam sesi menghadap berjadual. – Bernama, 13 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen