Rais Hussin sertai PKR selepas keluar Bersatu minggu lalu


Ravin Palanisamy

Pengasas bersama Bersatu Rais Hussin Mohamed Ariff menyertai PKR selepas keluar Bersatu minggu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2022.

PENGASAS bersama Bersatu Rais Hussin Mohamed Ariff menyertai PKR, kata presiden parti Anwar Ibrahim hari ini.

Pengumuman Anwar mengenai Rais menyertai PKR dibuat selepas Anwar mengumumkan keputusannya untuk keluar Bersatu minggu lepas.

“Beliau aktif dalam politik semasa dalam Bersatu sebagai pengarah strategik dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam merangka beberapa langkah strategik, manifesto dan rundingan semasa PRU14.

“Walaupun beliau tidak aktif dalam Bersatu selepas itu beliau banyak menumpukan perhatian kepada penyelidikan.

“Oleh itu saya mengalu-alukan beliau sebagai ahli PKR yang baharu,” kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Anwar juga menegaskan masih belum ada perbincangan mengenai Rais bertanding pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

Rais yang merupakan pengasas bersama Bersatu mengumumkan beliau keluar parti minggu lepas.

Beliau menyebut ketidakaktifannya sebagai alasan untuk keputusan berkenaan.

Rais ketika berucap selepas menyertai PKR hari ini berkata beliau mengekalkan lima prinsip teras reformasi, keadilan, keterangkuman, progresif dan keseimbangan dalam usaha politiknya.

Beliau berkata Malaysia kini berada dalam krisis ekonomi dan ia memerlukan penyelesaian yang berkesan untuk mengelakkannya.

“Kami tidak mengatakan kami hanya mahu menyelamatkan Malaysia tetapi apakah penyelesaian yang boleh kami sediakan,” katanya hari ini.

Pada masa sama Anwar turut mengumumkan bekas ketua penerangan Umno Bera Mohamed Jidi Yaakob menyertai parti itu.

Jidi sebelum ini pernah bekerja di bawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – 13 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen