IMF umum dana RST bantu negara rentan hadapi cabaran jangka panjang 


TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) melancarkan Dana  Ketahanan dan Kelestarian (RST) baharu untuk membantu negara-negara rentan menghadapi cabaran jangka panjang mereka, kata Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva.

“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Dana Ketahanan dan Kelestarian (RST) baharu sudah mula beroperasi. Hari ini, saya memberitahu Lembaga Eksekutif bahawa dengan pengumpulan dana kami setakat ini, RST bersedia untuk memulakan operasi pemberian pinjaman,” kata Georgieva dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor Sputnik.

Georgieva menjelaskan RST merupakan inisiatif pertama IMF yang menyediakan pembiayaan mampu milik jangka panjang untuk menyokong negara-negara dalam isu seperti perubahan iklim dan wabak, dan untuk membantu mengekalkan kestabilan ekonomi dan kewangan jangka panjang.

Australia, Kanada, China, Jerman, Jepun dan Sepanyol menyediakan sejumlah AS$20 bilion sebagai sumbangan pertama mereka kepada RST.

“Pusingan pertama sumber RST ini mewakili lebih separuh daripada jumlah ikrar RST semasa sebanyak SDR 29 bilion (AS$37 bilion) dari 13 negara. Sumbangan selanjutnya dijangka berkuatkuasa pada awal 2023 apabila negara telah menyelesaikan prosedur domestik mereka, memastikan RST berada dalam kedudukan kukuh bagi memenuhi permintaan untuk pengaturan RST pada tahun-tahun akan datang,” kata Georgieva.

Lebih banyak negara dijangka menyertai inisiatif itu dari semasa ke semasa, tambah Georgieva. – Bernama, 13 Oktober, 2022.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen