Kelantan, Terengganu, Kedah tidak bubar, umum Hadi


Kalidevi Mogan Kumarappa

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu, dan Kedah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2022.

TIGA negeri yang ditadbir PAS – Kelantan, Terengganu, dan Kedah – tidak akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15, umum Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, hari ini.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, 13 Oktober 2022, telah membuat keputusan … mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu, dan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan ringkas selepas mesyuarat.

PAS sebelum ini menetapkan tiga negeri itu tidak akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing sebelum Mac 2023.

Pendirian itu pertama kali ditetapkan pada Ogos lepas dalam mesyuarat jawatankuasa hariannya, iaitu jawatankuasa pengurusan parti yang dianggotai presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden serta ketua-ketua Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat.

Jawatankuasa Harian PAS juga dianggotai setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya parti.

Keputusan itu kemudian ditegaskan dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-68.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan ada kecenderungan dalam kalangan PAS Terengganu untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya Parlimen biarpun parti sudah membuat keputusan berkenaan.

PAS membincangkan semula keputusan itu minggu ini selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan Parlimen berkuat kuasa Isnin, 10 Oktober.

Isu pilihan raya serentak itu berbangkit di tengah-tengah gerakan dalam kalangan segelintir pemimpin PAS membawa parti Islam itu kembali bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional.

Dalam mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Harian PAS juga memutuskan parti Islam itu akan bersama Perikatan Nasional dalam PRU15.

Setakat ini, dijangka hanya Perlis, Pahang dan Perak akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing dalam waktu terdekat.

Semalam, Menteri Besar Perak Saarani Mohammad menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah namun belum mendapat perkenan untuk membubarkan dewan undangan negeri.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pula menitahkan kerajaan negeri supaya memberi tumpuan kepada urusan berkepentingan rakyat antaranya tebatan banjir dan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam sebelum membubarkan DUN.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini turut memutuskan tiga negeri yang ditadbirnya iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang juga tidak akan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya persekutuan.

DAP bagaimanapun minggu ini turut memberi bayangan Pulau Pinang berhasrat mengadakan pilihan raya serentak dan meminta perkara itu disemak semula oleh Majlis Presiden PH.

Semalam, selepas mesyuarat Majlis Presiden PH, pengerusinya Anwar Ibrahim berkata keputusan mereka sebelum ini masih mengikat bagaimanapun masih boleh dibincangkan oleh pimpinan parti untuk keputusan bersama. – 13 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen