eKasih perlu distruktur semula, MPN cadang bangun sistem bersepadu


Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin berkata pihaknya mendapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2022.

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan sistem eKasih sedia ada distruktur semula agar tiada penerima yang layak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan, kata Pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata MPN mencadangkan sebuah sistem eKasih bersepadu dibangunkan untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat.

“Hari ini, hampir semua agensi dan pihak kementerian masing-masing menyediakan bantuan, namun kita dapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir.

“Pada masa sama, ada pula yang menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di sini hari ini.

eKasih merupakan satu sistem pengkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan serta mengandungi maklumat mengenai kemiskinan bermula dari profil individu, program atau bantuan yang diterima oleh ketua isi rumah dan ahli isi rumah daripada agensi pemberi bantuan.

Muhyiddin memberikan contoh sistem di Australia, apabila seseorang itu jatuh miskin atau dibuang kerja, sistem tersebut akan ‘trigger’ (mencetuskan amaran) secara automatik dan bantuan akan disalurkan segera.

Beliau yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (Masa) berkata dengan mengintegrasikan data penerima layak dari semua agensi di bawah satu sistem sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat selaras dan diagihkan secara telus dan cekap kepada golongan sasar.

“Mekanisme ini akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak memerlukan bantuan. Ini boleh mengurangkan kerenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap strategi pemulihan yang lebih menyeluruh dan inklusif dengan berpaksikan kebajikan rakyat secara bersasar.

“Tanggungjawab memacu proses pemulihan negara memerlukan sinergi dan pendekatan seluruh negara dengan keterlibatan semua pihak daripada kerajaan, swasta, pakar industri, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Seminar sehari anjuran MPN dan Masa itu antara lain bertujuan menyediakan platform kepada pemegang taruh dalam kalangan ahli akademik, pemain industri, pembuat dasar dan masyarakat sivil untuk mengumpulkan cadangan input berkaitan pemulihan ekonomi negara.

Antara skop pembentangan dan kajian merangkumi isu kemiskinan, pemerkasaan golongan rentan, meningkatkan daya tahan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), pemulihan sektor pelancongan dan kelestarian ekonomi hijau. – Bernama, 13 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen