PERIKATAN Nasional (PN) sedia menimbang cadangan kerjasama politik dengan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menghadapi Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.
Keputusan muktamad cadangan kerjasama itu bagaimanapun tertakluk pada ketetapan majlis tertinggi parti, katanya yang juga presiden Bersatu.
“Kalau ada pihak yang serius dan bincang serius, kita sedia menimbang walaupun itu bukan hak saya.
“Saya kena bawa ke majlis tertinggi (untuk diputuskan), fikir perlu atau tak perlu. Bagi pihak PN, kita bersedia,” katanya di Kuala Lumpur.
Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir Mohamad mengenai kemungkinan GTA untuk bekerjasama dengan parti “yang sebulu” dengan gabungan baharu yang beliau pengerusikan sekarang.
Dr Mahathir tidak menyebut secara khusus parti “yang sebulu” itu.
Menurut Muhyiddin, setakat ini belum ada pihak yang berhubung dengannya mengenai perkara itu.
“Dulu pun ada juga berbincang… awal dulu, tapi tak jadi apa-apa. Saya kurang pasti sama ada serius atau tidak serius cadangan itu,” tambahnya.
Isu kerjasama antara pelbagai parti ini mula dibincangkan selepas Pilihan Raya Negeri Johor akhir Mac lalu.
GTA dianggotai empat parti Melayu – Pejuang, Putra, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) – serta mendapat dukungan pelbagai badan masyarakat, tokoh akademik dan cendekiawan.
Pejuang yang dipengerusikan juga oleh Dr Mahathir adalah parti serpihan Bersatu, yang ditubuhkan pada pertengahan 2020 selepas kemelut percaturan politik Langkah Sheraton.
Sementara itu, media melaporkan Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau menghormati pandangan Dr Mahathir tetapi mengambil sikap memantau sahaja buat masa ini kerana menganggap pandangan bekas perdana menteri itu kerap berubah-ubah. – 13 Oktober, 2022.
Komen