PAS Terengganu condong untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun keputusan awal parti Islam ialah tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri ditadbirnya, termasuk Kedah dan Kelantan, sebelum Mac tahun depan, kata beberapa sumber dalaman parti.
Jawatankuasa PAS Pusat dijadual bermesyuarat hari ini untuk memuktamadkan keputusan sama ada mahu membubarkan DUN di Terengganu, Kedah, dan Kelantan.
Mesyuarat hari ini diadakan selepas Dewan Harian PAS membincangkan isu sama pada Selasa.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, PAS Terengganu antara lain memikirkan soal kos yang perlu ditanggung oleh pengundi yang perlu balik dua kali untuk mengundi sekiranya pilihan raya persekutuan dan negeri diadakan berasingan.
Mereka juga tidak mahu dipersalahkan oleh umum sekiranya kos perbelanjaan tinggi, yang dikatakan mencecahkan sampai RM2 bilion, jika pilihan raya tidak dijalankan serentak.
PAS Terengganu juga yakin pilihan raya serentak akan memberi kelebihan kepadanya untuk dipilih sekali lagi selepas merampas pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
“Perbezaan pendapat (dalam PAS) ini bukanlah bermaksud tidak sehaluan. Pada asalnya memang keputusan muktamad sudah ditetapkan kerana ramalannya pembubaran Parlimen tidak akan berlaku dengan begitu cepat.
“Namun dengan beberapa perkembangan terbaru, jadi PAS Terengganu merasakan banyak senario yang perlu dipertimbangkan dan diambil kira jika negeri dan Parlimen dibuat berasingan,” kata sumber yang maklum dengan perbincangan dalaman PAS negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat 20 Oktober ini untuk menentukan tarikh PRU15 selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan Parlimen pada Isnin lepas.
Sehari sebelum itu, PAS mengeluarkan kenyataan yang menegaskan pendirian parti tidak membubarkan DUN di tiga negeri yang diterajuinya.
Namun sehari selepas pembubaran, Samsuri yang juga naib presiden PAS berkata perkara itu akan diputuskan semula dalam satu mesyuarat kelmarin.
PAS Pusat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi selepas mesyuarat itu.
Semalam, Samsuri menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin namun memaklumkan ia hanya pertemuan rutin membincangkan hal berkaitan pentadbiran negeri.
Beliau kemudian mengesahkan kepada media kedudukan DUN di tiga negeri yang ditadbir oleh PAS akan dimuktamadkan dalam mesyuarat peringkat tinggi parti hari ini.
“Insya-Allah (hari ini) adalah keputusannya. Keputusan itu sudah ada, cuma sokongan atau pengesahan daripada perbincangan dalam mesyuarat (kelmarin),” katanya.
Hadi jumpa Muhyiddin
Seorang lagi sumber dalaman turut mendedahkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berbincang dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), malam tadi.
“Pertemuan itu antaranya ialah perbincangan untuk memuktamadkan soal pembahagian kerusi.
“Soal status DUN negeri PAS juga dibincangkan, tapi keputusan penuh terletak kepada PAS Pusat, kerana dalam hal ini Bersatu tidak boleh mencampuri urusan negeri yang dipimpin oleh PAS,” katanya.
PN rugi pilihan raya asing
Mengulas perkembangan ini, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata PAS serta PN akan rugi jika pilihan raya negeri tidak diadakan serentak dengan pilihan raya Parlimen.
Katanya, PAS masih ada kelebihan jika pilihan raya berlangsung serentak kerana kedudukannya sebagai kerajaan negeri dan mempunyai beberapa menteri di peringkat pusat.
“Kedudukan mereka masih setara dengan BN. Tapi kalau diadakan berasingan senario itu akan berubah. Jentera Umno akan bertumpu sepenuhnya untuk menumbangkan PAS,” katanya.
Keadaan itu amat bahaya bagi PAS, katanya, apatah lagi jika BN menang Putrajaya dan menjadi kerajaan pusat.
“Jika dibuat PRU asing dan BN menang di peringkat pusat atau berjaya tawan beberapa kerusi Parlimen Terengganu, sudah tentu mood pengundi Parlimen akan mempengaruhi negeri.
“Ia akan beri tekanan kepada kerajaan negeri berdepan pola pengundian dalam PRU15.
“Tapi kalau dibuat serentak, PAS dan PN masih mempunyai peluang sama rata,” katanya.
Hisomuddin berpendapat PAS perlu juga memikirkan keberangkalian tinggi pengundi tidak akan turun mengundi dua kali.
Faktor itu juga jelasnya sedang dipertimbangkan dalam Pakatan Harapan (PH), selepas Pulau Pinang yang ditadbir DAP berhasrat mengadakan pilihan raya serentak dan meminta perkara itu disemak semula oleh Majlis Presiden PH.
“Saya yakin hujah ini yang dipertimbangkan mereka dan sebab berlaku ketegangan antara mereka. Ini termasuk PH awal kata mereka tak nak bubar DUN tapi kemudian Pulau Pinang mohon bubar, Negeri Sembilan pro untuk bubar.
“Cuma Selangor sahaja (tidak bubar) sebab menteri besar sudah menghadap Sultan awal, jadi tak boleh nak buat apa.
“Bagi saya tindakan ini langsung tidak melibatkan kepentingan rakyat tapi lebih lebih kepada pertahankan tampuk kekuasaan,” katanya. – 13 Oktober 2022.
Komen