LIMA pengarang dan seorang jurugambar The Star disoalsiasat di Bukit Aman hari ini berkaitan dengan penerbitan muka depan akhbar itu yang didakwa mengaitkan orang Islam dengan keganasan.
Antara yang dipanggil ialah Pengarang Eksekutif The Star Rozaid Abdul Rahman, Brian Martin, N.Dorairaj, Errol Oh dan Pengarang Khas The Star M.Shanmugam serta jurugambar Mohd Sahar Misni.
Mereka tiba pada jam 11.30 pagi dan memasuki bangunan 30 minit kemudian.
Mereka menghabiskan hampir tiga jam menjawab soalan tentang proses suntingan dan penerbitan muka depan yang mencetuskan “kemarahan” sesetengah orang Islam di negera ini.
Pasukan The Star ditemani peguam Amer Hamzah Arshad dan New Sin Yew.
Amer berkata pengarang memberikan kerjasama penuh kepada polis.
Enam orang kakitangan The Star itu dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk membantu siasatan polis kepada The Star.
Akhbar harian berbahasa Inggeris itu disiasat kerana menghasut susulan beberapa aduan dibuat kepada akhbar itu kerana muka depannya yang menyentuh sensitiviti orang Islam.
Akhbar yang dimiliki MCA itu pada Sabtu, menyiarkan laporan muka depan bertajuk “Malaysian Terrorist Leader” di atas gambar orang Islam.
Utusan Malaysia dan The New Straits Times juga menerbitkan tajuk berita dan gambar yang serupa di muka depan mereka.
Kumpulan haluan kanan Melayu, Perkasa berkata tindakan sepatutnya diambil kepada The Star tetapi bukan kepada dua akhbar yang menerbitkan perkara yang sama kerana itu bukanlah kali pertama The Star mencetuskan kemarahan orang Islam.
Isnin lalu, kementerian dalam negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Star kerana penerbitan itu. Surat itu diserahkan kepada pengarang yang hadir di kementerian pada hari itu.
“Kementerian amat dukacita akan tajuk berita itu pada halaman yang turut dimuatkan gambar yang tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan berita berkenaan dan sangat tidak sesuai disiarkan pada halaman yang sama kerana ia mengelirukan, menimbulkan salah faham dan prejudis kepada umat Islam yang mungkin akan dikaitkan dengan keganasan.
“Ia juga secara tidak langsung mempersendakan agama Islam,” kata kenyataan yang dikeluarkan kementerian dalam negeri. – 31 Mei, 2017.
Komen