Belanjawan 2023 pembangunan Sarawak tak jejas peluang GPS menang, kata menteri


Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi berkata pihak tertentu mendakwa peruntukan pembangunan RM5.4 bilion kepada Sarawak adalah tidak adil dan tidak mencukupi bagi negeri sebesar Semenanjung Malaysia itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2022.

PERCUBAAN pihak tertentu untuk memainkan isu peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Sarawak menerusi Bajet 2023 tidak akan menjejaskan peluang Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi berkata pihak terbabit mendakwa peruntukan pembangunan berjumlah RM5.4 bilion yang diberikan kepada Sarawak adalah tidak adil dan tidak mencukupi bagi negeri sebesar Semenanjung Malaysia itu.

“Mereka yang mempunyai agenda politik sudah tentu akan menyatakan bahawa ia (peruntukan) tidak cukup namun bagi saya, kita perlu melihatnya daripada pelbagai aspek. Sudah tentu sebagai rakyat Sarawak, saya mengharapkan peruntukan yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) di Kapit hari ini.

Beliau berkata malah GPS yang menang besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 pada Disember tahun lepas masih memiliki momentum untuk mencipta satu lagi kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.

“Kami yakin kami akan menang dengan bergaya. Kami tidak berada dalam keadaan yang kucar-kacir atau sering berbalah,” kata Nanta, yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Selain PBB, komponen lain GPS ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang memenangi 19 daripada 31 kerusi Parlimen pada PRU14.

Nanta yang juga penyandang kerusi Parlimen Kapit berkata rakyat perlu melihat faktor yang mempengaruhi peruntukan itu berbanding jumlahnya.

“Ketika ini kerajaan tidak mampu memberikan peruntukan yang lebih. Mungkin kerajaan berdepan kekangan dana dan terdapat keperluan lain yang lebih mendesak. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak,” katanya. – Bernama, 12 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen