Menghadap Sultan Terengganu tapi tidak bincang bubar DUN, kata MB


Diyana Ibrahim

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Moktar berkata beliau tidak mengusulkan pembubaran DUN ketika menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin pagi ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2022.

MENTERI Besar Terengganu Ahmad Samsuri Moktar mengesahkan beliau hari ini menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin namun tidak mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Majlis menghadap hari ini hanyalah pertemuan rutin membincangkan hal berkaitan pentadbiran negeri, katanya, menjelang mesyuarat mingguan exco negeri.

“Pertemuan biasa… ini memang pertemuan setiap minggu menghadap Sultan Terengganu sebelum mesyuarat exco negeri.

“Tidak berbincang mengenai pembubaran,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Samsuri difahamkan menghadap Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah, Chendering, selama lebih kurang sejam berakhir kira-kira 8.35 pagi.

Beliau seterusnya menghadiri mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri pada jam 9.19 pagi.

PAS sebelum ini memutuskan tiga negeri yang ditadbirnya iaitu Terengganu, Kedah, dan Kelantan tidak akan dibubar sebelum Mac 2023.

Setakat ini, dijangka hanya Perlis, Pahang dan Perak akan membubarkan DUN masing-masing susulan pembubaran Parlimen kelmarin.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memutuskan tiga negeri yang ditadbirnya iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang juga tidak akan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya persekutuan.

DAP bagaimanapun semalam memberi bayangan Pulau Pinang berhasrat mengadakan pilihan raya serentak dan meminta perkara itu disemak semula oleh Majlis Presiden PH. – 12 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen