Bubar Parlimen: Charles Santiago saman kerajaan, PM dan SPR


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago telah memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia, perdana menteri dan Suruhanjaya pilihan raya berhubung pembubaran Parlimen yang didakwanya melanggar Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2022.

AHLI Parlimen DAP Klang telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Malaysia dan dua yang lain termasuk perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen.

Charles Santiago memfailkan saman itu semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mendakwa pembubaran Parlimen baru-baru ini melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pemfailan mahkamah yang dilihat oleh The Malaysian Insight, Santiago menamakan Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan dalam saman undang-undang itu.

Santiago, dalam samannya yang difailkan oleh peguam Surendra Ananth, berkata pengisytiharan pembubaran itu bercanggah dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan Ismail Sabri, dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, untuk membubarkan Parlimen dibuat tanpa berunding dengan Kabinet.

Tindakan undang-undang Santiago dibuat selepas 12 menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Istana Negara yang menentang pilihan raya segera itu.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata menteri-menteri itu tidak dirujuk mengenai pembubaran Parlimen.

Muhyiddin kemudian berkata perkara berhubung surat kepada Agong kini menjadi tidak relevan kerana Baginda telah memperkenankan pembubaran tersebut.

Penyandang Parlimen Pagoh itu juga berkata Agong memberi perkenan berdasarkan penilaiannya terhadap keadaan dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri dalam melaksanakan kuasa perlembagaannya, walaupun Perkara 40(2)(b) memperuntukkan baginda kuasa budi bicara berhubung pembubaran Parlimen.

Perkara 55 selanjutnya menyatakan Agong mempunyai kuasa untuk menghenti atau membubarkan Parlimen, namun tidak menyatakan ia mesti dibuat atas nasihat Jemaah Menteri.

Santiago juga sedang berusaha untuk menghalang SPR daripada mengadakan pilihan raya dengan alasan musim tengkujuh dan kemungkinan banjir.

Mengambil contoh banjir besar Disember lepas, Santiago berkata susah untuk mengadakan pengundian pada hujung tahun.

Dengan lebih 210,000 pengundi di Parlimen Klang, beliau berkata langkah sedemikian hanya akan membahayakan nyawa rakyat.

Dalam afidavitnya, Santiago juga berkata berdasarkan maklumat yang tersedia secara umum, beliau percaya pilihan raya tidak boleh diadakan pada akhir tahun demi kepentingan negara. – 12 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen