MB Perak mengadap Sultan Nazrin esok berhubung bubar DUN


Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata beliau akan mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah esok pukul 2 petang bagi mendapat perkenan baginda untuk bubarkan DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2022.

MENTERI Besar Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pukul 2 petang esok bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Saya baru dapat perkenan untuk menghadap Baginda petang esok,” kata Saarani kepada media selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Daerah Kerian di Bagan Serai hari ini.

Beliau berkata mesyuarat mingguan Kerajaan Negeri akan diadakan seperti biasa pagi esok, sebelum beliau menghadap Sultan Perak pada sebelah petangnya, dan kenyataan rasmi berhubung pembubaran DUN dijangka akan dikeluarkan pihak istana.

DUN Perak kini dianggotai 25 Ahli Dewan Undangan Negeri dari Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan bebas (satu).

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata DUN di bawah pentadbiran BN kecuali Melaka, Johor dan Sabah akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Bernama, 11 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen