Dr Mahathir mahu pertahan kerusi Langkawi pada PRU15


Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau akan mempertahankan kerusi Langkawi dalam PRU15 akan datang, mendakwa beliau bertanding untuk jadi wakil rakyat, bukannya perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Oktober, 2022.

DR Mahathir Mohamad akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bekas perdana menteri itu berkata keputusan untuk bertanding di Langkawi dibuat semasa pertemuan dengan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) pagi tadi.

“Saya bukan bertanding untuk jadi perdana menteri, tetapi untuk jadi wakil rakyat,” katanya di Putrajaya.

Beliau juga berkata pihaknya belum memutuskan calon untuk jawatan perdana menteri.

“Kami masih belum putuskan mengenai jawatan itu, sebab calon PM hanya relevan jika kami menang. Tetapi, kalau kami kalah, ia tidak relevan.”

Pada PRU14 lepas, Dr Mahathir menang kerusi Langkawi buat kali pertama dengan majoriti 8,893 undi

Beliau memperoleh 18,954 undi sebagai calon Bersatu di bawah bendera Pakatan Harapan manakala pesaingnya Nawawi Ahmad (BN) memperoleh 10,061 undi manakala Zubir Ahmad (PAS) dengan 5,512 undi.

Dr Mahathir juga berkata GTA sedang berusaha untuk bekerjasama dengan parti lain yang sehaluan dengan mereka, iaitu menolak Umno.

“Kita sanggup bekerjasama dengan mereka (parti lain) yang mahu selamatkan negara daripada Umno.

“Kerana Umno tidak peduli dengan rakyat. Apa yang mereka mahu hanyalah menjadi PM dan kerajaan.”

Ketika ditanya sama ada beliau akan bekerjasama dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata soalan itu perlu diajukan kepada Anwar.

“Persoalannya adakah beliau akan bekerja dengan saya…? Persoalannya beliau tidak mahu bekerja dengan saya. Saya seorang yang sangat baik…”

Dr Mahathir juga berkata jika GTA dipilih menjadi kerajaan, mereka akan fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat.

“Kita akan memberi tumpuan kepada orang Melayu yang sangat memerlukan dan juga orang bukan Melayu.”

Dr Mahathir juga berkata rakyat tidak sepatutnya percaya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang Umno akan menang PRU15.

“Mereka, tidak pedulikan kebajikan rakyat sebab mereka sedang mahu buat pilihan raya waktu musim banjir.” – 11 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen