SPR perlu beritahu pelan hadapi banjir ketika PRU15, kata ahli Parlimen Klang


Ravin Palanisamy

Rakyat perlu diyakinkan semua usaha telah dibuat bagi melancarkan pengundian dan menyelamatkan mangsa jika berlaku banjir, kata Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2022.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu menerangkan rancangan tebatan banjir untuk pengundi jika berlaku bencana, ketika negara menunggu tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

“SPR perlu menjelaskan rancangan mitigasinya jika pengundi tidak dapat keluar buang undi kerana rumah mereka dinaiki air atau bimbang rumah mereka mungkin dinaiki air atau jalan raya mungkin ditutup kerana paras air yang tinggi,” kata ahli Parlimen DAP.

“Rakyat Malaysia khususnya warga emas perlu diyakinkan yang semua usaha telah dibuat bagi memastikan pengundian berlaku dalam persekitaran yang selamat.

“Oleh itu pelan SPR perlu didedahkan kepada umum memandangkan Parlimen telah dibubarkan dan negara akan berhadapan PRU15 dalam beberapa minggu akan datang.”

Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen untuk mengadakan PRU15.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan untuk membubarkan Parlimen ke-14.

Justeru PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Jabatan Meteorologi telah memberi amaran Malaysia akan mengalami musim tengkujuh pada November.

Tahun lepas, lapan daripada 11 negeri di Semenanjung Malaysia dilanda banjir pada Disember apabila negara mencatatkan hujan paling lebat dalam tempoh 100 tahun, menurut pegawai.

Selangor antara negeri yang dilanda banjir.

Memberi contoh banjir di negeri itu tahun lepas, Santiago berkata lebih 50 peratus pengundi Parlimen Klang terjejas dalam bencana itu, mendakwa kebanyakan sekolah dan dewan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

Santiago bertanya sama ada SPR mempunyai sebarang rancangan jika banjir terjadi, dengan sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi.

“Kebanyakan sekolah yang ditetapkan sebagai pusat mengundi digunakan tahun lepas sebagai PPS.

“Oleh itu penting supaya SPR menjelaskan apa yang akan berlaku jika sekolah perlu digunakan sebagai pusat pemindahan dan pusat mengundi.

“Bagaimana SPR akan pastikan peti undi kekal selamat dan tidak diusik jika kenderaan pengangkut tersangkut akibat banjir?

“Bagaimana SPR rancang untuk tangani situasi memindahkan 1,300 ejen tempat mengundi ejen mengira undi (Paca) sekiranya berlaku banjir? Adakah ketelusan pengundian akan terjejas akibat pergerakan kakitangan ini?” soalnya.

Santiago berkata SPR bertanggungjawab menjelaskan rancangan tebatan banjir dengan jelas kepada rakyat kecuali jika tidak ada rancangan sedemikian.

Santiago turut menyelar SPR kerana tidak membalas surat-suratnya yang dihantar pada 3 Oktober lepas kepada pengerusi dan pesuruhjaya SPR, meminta mereka memberikan butiran persiapan dan pelan untuk menghadapi PRU15 jika berlaku banjir semasa tempoh pilihan raya termasuk hari pengundian. – 11 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen